Abu Zahar sedia disiasat, serah kedudukan kepada Agong

0
456

PENGERUSI Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang menegaskan beliau sedia disiasat mana-mana organisasi berhubung kenyataannya pada 5 Januari lalu berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pada sidang media di Putrajaya pada Selasa, Berita Harian melaporkan, Abu Zahar juga menyerahkan kepada budi bicara mutlak kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

Abu Zahar turut meluahkan kekecewaan dengan kenyataan terbuka enam anggota lembaga itu yang menjauhkan diri daripada kandungan kenyataan media pada 5 Januari, dipercayai dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak.

Beliau turut mendakwa cara media melaporkan sidang medianya itu telah memberi gambaran tidak tepat dalam kalangan masyarakat.

Katanya, semasa sidang media itu, kenyatan penuh sebanyak 13 muka surat yang mengandungi keseluruhan kenyataannya diedarkan, namun didakwanya tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga menyumbang salah tanggapan.

“Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan ‘alegasi salah laku’ terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR.

“Tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media. Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tular cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya,” katanya ketika membacakan kenyataan media.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara. Bagaimanapun, Azam pada satu sidang media Rabu lalu, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat seperti didakwa dan tular akhir-akhir ini.

Beliau memberi alasan akaun saham itu digunakan oleh adiknya, Datuk Nasir Baki dalam urus niaga dan beliau tidak mempunyai kepentingan atau manfaat terhadap saham yang dibeli.

Abu Zahar yang turut hadir pada sidang media itu dipetik berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhajaya SPRM itu bahawa beliau tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham berkenaan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kelmarin menegaskan alasan Azam itu bertentangan dengan peraturan kerana Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) memperuntukkan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan. Sehubungan itu, SC meminta semua pihak terbabit, khususnya Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul bukti berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here