Sektor ekonomi tertentu ambil masa lebih lama untuk pulih – Muhyiddin

0
259

WALAUPUN Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan positif tahun ini, sektor ekonomi tertentu dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih akibat kesan pandemik COVID-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelembapan ekonomi itu berpunca daripada pelbagai kekangan seperti kekurangan tenaga kerja, isu pembiayaan dan peningkatan harga barang serta perkhidmatan.

Menurut beliau, rintangan yang merencatkan kadar pemulihan ekonomi negara wajar ditangani secepat mungkin, menerusi pendekatan secara menyeluruh membabitkan kerjasama semua pihak.

“Saya percaya, kita tidak boleh menganggap bahawa sektor perniagaan harus berjalan seperti biasa, memandangkan krisis ini tidak pernah melanda negara dan terdapat keperluan untuk hidup dalam norma baharu.

“Seluruh jentera kerajaan harus menjalin kerjasama dengan pihak industri untuk merungkai pelbagai isu yang membelenggu sektor ekonomi dan merintis usaha ke arah pemulihan dalam tempoh singkat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Malam Penghargaan Model Peranan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden PUMM, Tan Lay Seong.

Muhyiddin menambah, bagi memastikan usaha tersebut berjaya, kerajaan perlu faham keperluan industri dan bertindak mengikut keperluan mereka bagi memacu proses pemulihan ekonomi negara.

“Justeru, libat urus yang berterusan harus diadakan antara kerajaan dan industri bagi menjamin setiap keputusan dibuat secara terangkum dan menyeluruh,” jelasnya.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, kerajaan boleh merangka tindakan intervensi untuk menyelesaikan sebarang isu yang dikesan menjadi penghalang terhadap proses pemulihan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau berkata, persatuan seperti PUMM boleh memainkan peranan penting sebagai pemangkin kerjasama antara kerajaan dan pihak industri, sekali gus memacu pertumbuhan pada kadar lebih cepat.

“Kita memerlukan sokongan komuniti perniagaan untuk tidak mengaut keuntungan melampau menyebabkan peningkatan harga barang di pasaran dan menambah beban masyarakat.

“Pada masa yang sama, teguhkan pendirian dengan menjalankan perniagaan mengikut prinsip murni dan jauhi amalan rasuah,” katanya.

Muhyiddin turut menyeru komuniti perniagaan di negara ini agar tampil membantu mangsa-mangsa bencana banjir baru-baru ini.

“Sebarang bentuk bantuan termasuk derma, bank makanan atau tenaga adalah sangat dihargai,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here