Boikot mesyuarat PKR Sabah, 16 ketua cabang dianggap tak hormat Anwar

0
629

TINDAKAN kumpulan 16 ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKT) tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Negeri Sabah dianggap seperti tidak menghormati Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha PKR Sabah, Mustapha Sakmud berkata, sebelum ini, Anwar telah berunding dengan semua ketua cabang pada mesyuarat 8 September tahun lalu.

Menurut beliau, Anwar juga telah memberi nasihat agar Pengerusi MPN Sabah, Datuk Christina Liew dikekalkan sehingga pemilihan parti yang akan datang.

“Namun tindakan sebahagian memboikot mesyuarat MPN bermakna mereka tidak mahu berunding.

“MPN telah meluluskan perubahan pimpinan ini dengan persetujuan majoriti ahli-ahli MPN yang hadir mesyuarat dengan kuasa jawatan yang diberikan mengikut perlembagaan parti.

“Presiden Parti juga sudah dimaklumkan berkenaan perubahan ini terutama melibatkan pimpinan utama berdasarkan Fasal 27.5,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Sekretariat Ketua-ketua Cabang PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, seramai 16 Ketua Cabang tidak menghadiri mesyuarat MPN Sabah yang diadakan secara hybrid (fizikal dan atas talian).

Menurut beliau, ia sebagai tanda protes daripada ketua cabang yang telah menolak kepimpinan Christina Liew termasuk daripada Ketua Pemuda PKR, Ketua Wanita, Ketua Srikandi dan Ketua Skuad Sabah.

Simsudin berkata, dia juga dimaklumkan korum kehadiran mesyuarat pada hari itu tidak mencukupi namun diteruskan dengan memasukkan beberapa individu dan dilantik secara terus.

Katanya, desakan agar Christina digugurkan telah berpanjangan sejak empat tahun lalu, malah Sekretariat Ketua-Ketua Cabang itu juga telah ditubuhkan bagi menolak kepimpinannya sejak lebih setahun lalu.

Justeru Simsudin menggesa Anwar segera menyelesaikan kemelut tersebut.

“Tindakan ini tidak memberi kelebihan kepada parti melainkan hanya menyaksikan perpecahan lebih teruk PKR Sabah,” katanya.

Namun, Mustapha hari ini berkata berdasarkan perlembagaan parti, mesyuarat tersebut adalah sah dan mencukupi korum walaupun tanpa kehadiran Ketua-ketua cabang berkenaan.

Jelas beliau, penstrukturan semula MPN ini telah dibincangkan lebih awal oleh Biro Politik MPN negeri dan di sahkan sebulat suara pada mesyuarat yang dihadiri oleh ketua-ketua cabang, ahli-ahli MPN yang dilantik serta ahli-ahli MPN sedia ada.

Berikut adalah perubahan kepimpinan PKR Sabah yang baru:

Timbalan Pengerusi MPN : Ag. Husaini Datuk Hj. Ag. Sahari

Naib Pengerusi MPN 1 : Peto Galim

Naib Pengerusi MPN 2 : John O.T Gani

Naib Pengerusi MPN 3 : Abdul Razak Jamil

Setiausaha MPN : Mustapha Sakmud

Setiausaha Pengelola MPN : Remysta Taylor

Timbalan Ketua Penerangan : Thonny Chee

Ketua Biro Disiplin MPN : Dikin Musa

Ahli-ahli MPN yang baru :

  1. Alijus Sipil
  2. Ramlan Naim
  3. Akbar Nusah
  4. F. Fauziah Abdul Lahap

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here