[VIDEO] 7 maut, 9 parah runtuhan tebing timpa bot pelancong di air terjun Brazil

0
525

SEKURANG-kurangnya tujuh orang maut selepas bot pengunjung dinaiki mereka ditimpa batu setinggi menara yang runtuh dari satu tebing berhampiran air terjun dalam satu kejadian di Tasik Furnas, Minas Gerais Brazil.

Komander Jabatan Bomba Minas Gerais, Edgard Estevo berkata, sembilan orang mangsa cedera parah, 20 individu masih hilang manakala 24 orang lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian itu.

Menerusi satu video tular di media sosial yang telah disahkan oleh pihak berkuasa memaparkan sekumpulan bot kecil bergerak perlahan berhampiran tebing batu di tasik berkenaan.

Tebing berkenaan dilihat mengalami keretakan sebelum sebuah batu besar runtuh dan menimpa sekurang-kurangnya dua bot.

Media tempatan melaporkan bahawa jabatan bomba telah mengerahkan penyelam dan helikopter bagi melancarkan misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa kejadian tersebut.

Sementara itu, Gabenor Minas Gerais, Romeu Zema menyampaikan mesej takziah dan bersolidariti bersama-sama mangsa terlibat menerusi media sosial miliknya.

Jabatan Pertahanan Awam Minas Gerais turut memaklumkan bahawa negeri berkenaan telah mengalami hujan lebat berterusan sehingga memaksa hampir 17,000 penduduk berpindah keluar ekoran bencana banjir.

Pihak berkuasa berkata, kejadian hujan lebat itu berkemungkinan menjadi punca kepada kejadian yang meragut nyawa tersebut.

Dalam pada itu, tentera laut Brazil yang turut membantu operasi menyelamat memaklumkan pihak mereka akan menyiasat punca kejadian itu.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here