[VIDEO] Bergaduh isu tapak niaga, pasangan suami isteri ditahan polis

0
528

DUA individu yang mencederakan seorang lelaki selepas terlibat dalam pertengkaran dalam kejadian di Taman OUG, Kuala Lumpur pada Jumaat telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan telah diambil susulan daripada video berdurasi 45 saat yang tular di media sosial.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki berumur 58 tahun mendakwa telah dicederakan oleh suspek apabila dia mengambil gambar tapak niaga milik suspek sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.

“Suspek seorang lelaki berumur 53 tahun dikatakan telah mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

“Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengambil gambar telah menyerang dan menendang mangsa di bahagian belakang badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amihizam berkata, seorang lagi suspek lain iaitu seorang wanita berumur 48 tahun turut ditangkap bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kedua-dua suspek dalam kes ini tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” ujarnya.

Amihizam dalam pada itu turut menasihati orang awam agar tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana orang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here