[VIDEO] Siasatan awal dapati video kanak-kanak di luar beranda bukan kes dera

0
658

SIASATAN awal polis terhadap laporan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang berdiri di bahagian luar tembok beranda di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, mendapati ia bukan kes dera seperti yang didakwa.

Pihak polis memulakan siasatan terhadap laporan tersebut ekoran satu laporan yang dibuat berdasarkan satu video yang tular dengan kapsyen ‘Tolong viralkan, child abuse, lokasi Bukit Jalil’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung video kejadian yang tular sekitar jam 4 petang pada Khamis.

Menurut Saiful Annuar, pihaknya mendapati kanak-kanak tersebut pergi ke rumah neneknya yang juga merupakan lokasi kejadian bersama keluarganya bagi membuat persiapan majlis perkahwinan ibu saudaranya.

“Bapa kanak-kanak itu memaklumkan mangsa seorang yang hyperaktif. Ketika kejadian, mangsa keluar dari balkoni rumah terbabit kerana mahu melihat kolam mandi yang berada di tingkat bawah kondominium berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Saiful Annuar berkata, selepas kira-kira tiga minit, ibu bapa kanak-kanak berkenaan berjaya memujuknya untuk masuk semula ke dalam kondominium.

Menurut Saiful Annuar, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada khamis, tular satu video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berdiri di luar balkoni kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, yang didakwa didera. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here