IBRAHIM Mat Zin, individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di Ipoh, pada Jumaat kerana kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
Tuduhan ke atas beliau dan Suliaha Abdul Hamid, yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ dibuat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.
Mereka disiasat dan didakwa susulan tular satu video ritual menolak musibah banjir yang dilakukan mereka di Dataran JPS di Teluk Intan baru-baru ini.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Rabu membuka kertas siasatan terhadap Raja Bomoh mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.
Di bawah seksyen itu, mereka yang mempersenda akan amalan atau upacara yang berkaitan agama Islam adalah suatu kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Raja Bomoh bersama Puteri Zaleha membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.
Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.
Selepas dihadapkan ke mahkamah, kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding itu kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.
Dalam rayuannya, Ibrahim yang mempunyai 32 anak dan tiga isteri, manakala Suliaha merupakan pesara penjawat awam memohon agar jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.