Kami mangsa keadaan, ditimpa musibah – Presiden Bumitra

BAGAI jatuh ditimpa tangga, agensi-agensi pelancongan umrah menghadapi waktu yang sukar ekoran penangguhan perjalanan umrah selama sebulan yang diumumkan kerajaan pada Khamis.

Penangguhan itu bagi mengambil langkah awal mencegah penularan varian Covid-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K.C. Ahmmu berkata, syarikat pengendalian umrah yang baru sahaja kembali ‘bernafas’ terpaksa akur dengan keputusan tersebut.

“Keputusan yang dibuat dengan begitu mengejut tentu sekali akan meninggalkan kesan sedemikian rupa. 

“Apatah lagi, agensi pelancongan, kalau dulu selama 18 bulan dalam pandemik, semua syarikat dah menjadi teruk, susahnya jangan nak ceritalah,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambah beliau, penangguhan itu mengakibatkan banyak pengendali umrah terpaksa menutup semula operasi perniagaan akibat kegagalan membayar tuntutan bayaran kepada jemaah.

Antara lain, katanya, kerajaan harus memandang situasi yang dihadapi pengendali umrah dan jemaah sepertimana kerajaan memandang serta membantu mangsa bencana banjir.

“Kerajaan umum umrah dibuka, memang satu berita baik, syarikat perlu mulakan kembali bisnes, staf-staf dipanggil balik, kos overhed berjalan, jadi overhed berjalan, masuk Januari, kena berhenti pula. 

“Jadi kemana syarikat-syarikat ni nak mengadu, overhed berjalan, bisnes kena berhenti pula, duit jemaah bayar kena refund balik, jadi inilah dilemma yang dihadapi agensi pelancongan sekali gus jemaah-jemaah di bawah pengelolaan mereka. 

“Kita minta kerajaan pandanglah keadaan ini seperti mana kerajaan pandang bencana. Kena pandang ikut sudut itu sekarang ini. Dan kita perlu bantuan sepertimana mangsa-mangsa bencana dibantu,” ujarnya.

Beliau berkata, Bumitra mewakili 579 agensi pelancongan akur dengan keputusan kerajaan yang perlu bagi membendung penularan Omicron dalam kalangan jemaah umrah dengan memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Bagaimanapun, menurut beliau, usaha membendungnya bukan dengan membuat tindakan yang bakal merugikan industri pelancongan termasuk agensi, syarikat penerbangan serta jemaah umrah. 

“Kami pun mangsa keadaan, kami juga menimpa musibah. Jadi bantulah kami, tolonglah kami, kami akur kepada keputusan kerajaan walaupun Saudi tidak tutup. 

“Kita faham kerajaan ada tanggungjawab demi keselamatan negara kita.

“Pihak kami yakin kepada kerajaan yang amat prihatin dengan kesusahan rakyat, kami juga adalah golongan rakyat yang ditimpa musibah, saya harap kerajaan tidak terlepas pandang terhadap kami,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penangguhan perjalanan Umrah dan menjelaskan keputusan itu diambil bertujuan memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara, khususnya membabitkan prosedur operasi standard (SOP). – SB