Selagi visa umrah belum dikeluarkan, wang boleh dipulangkan – Bumitra

0
592

BAKAL jemaah umrah yang sudah mendaftar dengan agensi umrah boleh mendapatkan kembali wang pendaftaran selagi visa umrah belum dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K.C Ahmmu berkata, jika visa umrah telah dikeluarkan sukar untuk membuat bayaran semula kepada jemaah.

“Jika visa belum dikeluarkan, wang belum bergerak, masih boleh dipulangkan kepada jemaah.

“Jika visa telah dikeluarkan, itulah bayaran yang sudah diambil oleh wakil agensi di Arab Saudi. 

“Daripada bayaran itu akan dibayar kepada syarikat insurans, Kementerian Luar Arab Saudi, hotel dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Beliau mengulas kesan penangguhan perjalanan umrah oleh kerajaan seperti diumumkan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Harun berkata, penangguhan sementara berkenaan menyebabkan kerugian besar dan kos pembatalan yang tinggi kepada jemaah di negara ini.

“Itulah duit yang kita tak tahu nasibnya macam mana, bagaimana kita nak pulangkan duit jemaah nanti apabila perjalanan ini ditangguhkan. 

“Yang ini kita perlu pembelaan kepada kerajaan. Tolong agensi pelancongan dan jemaah-jemaah ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, jemaah umrah yang perlu dikuarantin di Mekah atau Madinah ditanggung sepenuhnya oleh pihak insurans Arab Saudi disebabkan visa umrah disertakan bersama insurans.

Dalam pada itu, setiap jemaah yang dikuarantin diberi perlindungan insurans sebanyak RM450 sehari dan sebanyak RM450,000 buat jemaah yang perlu dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.

“Jika kita kena Covid-19, dia (insurans) akan cover (lindung) kita untuk bilik hotel dan makan untuk 14 hari. Setiap seorang coverage dia adalah RM450 sehari.

“Sekiranya penyakit semakin teruk, kita boleh masuk ke hospital. Insurans cover sehingga RM450,000. 

“Jadi tak perlu bimbang, yang pergi dengan visa umrah tiada isu, kerana kita ada Umrah Service Provider of Saudi, mereka akan bantu untuk mengelola kita, mereka akan berhubung dengan hospital, doktor,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap hotel di Arab Saudi disyaratkan untuk mengosongkan dua tingkat hotel bagi tujuan memberi penginap yang positif Covid-19. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here