Sebarluas maklumat bantuan banjir elak mangsa tercicir sumbangan – Muhyiddin

0
379

MAKLUMAT berkaitan bantuan kepada mangsa banjir perlu disebarluaskan dengan lebih sistematik bagi mengelak ada mangsa terlepas daripada menerima bantuan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masih ada dalam kalangan mangsa banjir tidak mengetahui bantuan yang disediakan kerajaan.

“Saya juga dimaklumkan yang tidak semua mangsa banjir mengetahui tentang bantuan-bantuan yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

“Saya harap maklumat ini dapat disebarluaskan dengan lebih sistematik dan terus kepada golongan sasar agar tidak ada mangsa yang tertinggal atau terlepas daripada menerima bantuan ini.

“Saya berharap agensi-agensi terlibat juga dapat memudahkan birokrasi agar bantuan dapat dipercepatkan kepada mereka yang terkesan dengan banjir,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.

Terdahulu Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar Parlimen berkenaan meliputi Bukit Gambir dan Bukit Kepong di mana banyak kawasan rendah terutama yang berdekatan dengan sungai dinaiki air.

Sepanjang lawatan itu Muhyiddin turut mengunjungi PPS Felda Maokil, Bukit Kepong, Kampung Jawa, Lenga dan Sekolah Kebangsaan Lenga bagi menziarahi penduduk yang dipindahkan.

Setiap satu PPS menempatkan antara 10 hingga 20 keluarga mangsa banjir.

‘Saya juga singgah ke Galeri Darurat Bukit Kepong, bagi meninjau keadaan muzium yang menempatkan banyak bahan bersejarah yang turut turut dinaiki air.

“Dari aspek kebajikan mangsa banjir, saya dapati penduduk yang dipindahkan ke PPS dibekalkan dengan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi. Alhamdulillah, kemudahan kesihatan turut disediakan,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, penduduk berkongsi maklumat bahawa tindakan pantas pasukan keselamatan dan agensi terlibat memindahkan mereka ke PPS sejurus kawasan kediaman dinaiki air menghindarkan mereka dari bahaya bencana tersebut.

“Terima kasih saya ucapkan atas kecekapan dan kesiapsiagaan jabatan, agensi kerajaan serta NGO yang terlibat dalam pemindahan penduduk.

“Terima kasih sekali lagi buat frontliners, para sukarelawan, orang perseorangan serta semua pihak yang terus istiqamah membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan ini. Terima Kasih Semua!,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here