Terpulang kepada PM untuk rombak Kabinet-Muhyiddin

0
407

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung rombakan Kabinet yang dikatakan turut membabitkan beberapa menteri daripada parti itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, Ismail Sabri mempunyai hak untuk membuat sebarang perubahan dalam barisan Kabinet mengikut perancangan tersendiri.

Bekas Perdana Menteri itu enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

“Saya bukan Perdana Menteri, elok tanya Perdana Menteri (dan) kalau ada pun itu perancangan Perdana Menteri buat.

“Saya tak boleh nak komen, itu hak Perdana Menteri (sama ada) dia nak rombak atau tak rombak, itu hak dia. Tapi biasalah dalam politik orang buat ramalan, jadi terserah kepada Allah SWT dan Perdana Menteri untuk putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Jawa di Lenga, Muar, hari ini.

Sebelum dikatakan Ismail Sabri dijangka mengadakan perbincangan empat mata dengan Muhyiddin bagi membincangkan rombakan Kabinet membabitkan dua menteri daripada Bersatu.

Memetik laporan Suara TV, beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad yang gagal memainkan peranan berkesan semasa bencana banjir baru-baru ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang terletak di bawah portfolio Dr. Abd. Latiff dikritik hebat kerana gagal memainkan peranan berkesan mengkoordinasi operasi menyelamat dan memberi bantuan semasa bencana banjir.

Selain Abd. Latiff, antara nama lain dari Bersatu yang dijangka digugur dari kabinet ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang mencetuskan kontroversi apabila penularan video yang menampakkan seolah-olah beliau berlakon membersihkan kawasan banjir yang telah bersih.

Satu nama dari UMNO yang dijangka digugurkan ialah Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang menjadi kontroversi kerana memberi penjelasan kepada ahli Parlimen mengenai agihan peruntukan RM100 juta Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Bagaimanapun semalam, Ismail Sabri ketika mengulas berkenaan khabar angin itu berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here