HIDANGAN yang ‘viral’ di media sosial sememangnya menjadi buruan orang ramai termasuklah resipi Rain Drop Cake yang menjadi bualan masyarakat baru-baru ini.
Resipi puding Rain Drop Cake yang dikongsikan oleh Siti Masitah Awang Kechik di laman Facebooknya telah menarik perhatian orang ramai disebabkan keunikan kek tersebut yang kelihatan seakan-akan titisan air hujan.
Siti Masitah Awang Kechik berkata, resipi kek ini sudah tular sebelum ini terutamanya di Jepun yang lebih dikenali sebagai Mizu Shingen Mochi.
“Resipi ini juga dah lama masuk Malaysia kemudian saya mendapat inspirasi menerusi Tiktok dan juga Rain Drop Cake yang pernah tular di Ipoh sebelum ini,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Katanya, disebabkan resipi itu telah tular, Siti Masitah nekad untuk mencuba dan mengolah resipi Rain Drop Cake ini supaya orang ramai dapat mencuba sendiri.
“Saya buat pun hanya suka-suka sahaja, saya pun tak tahu resipinya macam mana jadi saya sendiri yang olah.
“Memang secara kebetulan apa yang saya post tu mendapat perhatian semua orang, ramai juga yang mencuba tapi tak menjadi tetapi lepas saya kongsikan resipi saya barulah ramai yang berjaya,” ujarnya
Siti yang merupakan pemilik @bymaksupastries di Instagram juga berkata, resipi kek tersebut diolah oleh dirinya sendiri dan tidak menggunakan produk yang digunakan oleh pemilik asal resipi ini.
Ketika ditanya sekiranya dia akan menjual kek ini, dia menyatakan bahawa orang ramai pun sudah tahu cara pembuatannya jadi lebih baik mereka mencuba sendiri.
“Kalau dengan resipi saya tu mereka boleh buat jualan, tidak mengapalah tetapi untuk saya sendiri nak jual mungkin belum lagi,” jelasnya
Jadi apa tunggu lagi? Mari kita cuba resipi Rain Drop Cake dari Siti Masitah Awang Kechik.
Resipi Rain Drop Cake hanya menggunakan 3 bahan saja
Bahan-bahan:
– 700ml air
– 1/2tbs serbuk agar-agar swallow
– 1tbs gula kastor
Cara-cara:
• Masak semua bahan diatas sampai mendidih
• Tutup api dan tuangkan adunan tersebut kedalam mangkuk yang membulat kedalam supaya hasilnya membulat seperti titisan air
• Sejukkan di dalam peti sejuk selama 30 minit
• Hidangkan bersama air gula melaka dan ditaburi dengan serbuk kacang soya yang telah disangai. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.