Cerun setinggi 105 meter runtuh di Kota Tinggi

0
433

PENDUDUK di kawasan perumahan Bukit Pelali, Pengerang, Kota Tinggi, Johor dilanda kebimbangan apabila tebing tinggi di situ runtuh dipercayai akibat hujan lebat berterusan sejak pagi tadi. 

Hujan lebat tanpa henti itu menyebabkan tebing tanah dengan ketinggian 105 meter runtuh, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari itu tidak membabitkan kerosakan, tetapi kawasan itu dipantau rapi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini. 

Katanya, syarikat pemaju juga sudah menjalankan tindakan susulan ke atas kejadian yang pernah berlaku pada 11 Januari tahun lalu.

“Syarikat Pemaju Taman Bukit Pelali Astaka Development sudah melantik GeoPakar Sdn Bhd bagi menjalankan kerja pembaikan cerun.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama GeoPakar turut mengadakan siasatan migitasi di lokasi kejadian dan penduduk dinasihatkan mengikut arahan pasukan penyelamat jika diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussin berkata, Kampung Mawai Baru dan Kampung Bukit Raja Darat, di Bayu Damai, dinaiki air akibat banjir kilat di kawasan itu petang tadi.

“Sehingga kini, seramai 104 mangsa terdiri 33 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Ramunia dan SK Mawai.

“Seramai 14 individu berada di bawah Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian (Home Surveillance Order) dan mereka sudah diasingkan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here