[VIDEO] ‘Terpaksa buang air dalam plastik’, mangsa banjir Taman Sri Nanding rayu kerajaan atasi sistem kumbahan tersumbat

0
431

PENDUDUK di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor yang terjejas teruk akibat bencana banjir sejak dua minggu lalu sudah menunjukkan tanda awal untuk pulih.

Tinjauan SatuBerita di kawasan berkenaan mendapati kebanyakkan rumah-rumah yang ditenggelami air akibat bencana banjir itu sudah atau hampir selesai dibersihkan dengan bantuan daripada pelbagai pihak.

Namun, biarpun rumah-rumah mereka kini sudah boleh didiami, penduduk-penduduk Taman Sri Nanding masih kerisauan apabila masih banyak rumah yang mengalami masalah longkang dan juga saluran tandas tersumbat.

Salah seorang penduduk, Zamri Safie, 54, berkata, masih tiada pihak yang mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah longkang dan saluran tandas tersumbat yang dialami oleh majoriti penduduk biarpun sudah lebih dua minggu berlalu.

“Masalah di tempat ini, sistem pemparitannya agak sempit dan kecil. Jadi, bila lumpur terkumpul dengan sampah dan sebagainya, dia akan tersumbat,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Tambahnya, masalah tandas tersumbat berkenaan telah menyebabkan dia dan keluarga menghadapi situasi yang sukar sekiranya ingin menggunakan tandas.

Zamri Safie ketika ditemui SatuBerita.

“Apabila berlaku masalah ini, saya dengan anak-anak dan isteri nak buang air macamana? Susah. Saya terus terang saya bercakap, kami terpaksa buang air dalam plastik, lepastu kami buang dalam tong sampah. Dah dua minggu lebih dah,” ujarnya.

Katanya, pendapatan keluarganya yang hanya bergantung dengan meniaga nasi ayam penyet lebih terjejas kerana tidak dapat meneruskan perniagaan mereka apabila dapur yang digunakan untuk memasak masih lagi ditakung air tersumbat.

“Dah dua minggu lebih saya tiada pendapatan. Saya masak di belakang, dah tak boleh sebab longkang tersumbat. Tandas pun dah mula berbau, siapa-siapa pun tak selesa kan,” ujarnya.

Menurut Zamri, apa yang lebih merisaukan adalah risiko pembiakan kuman yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit berbahaya seperti malaria, demam denggi, kencing tikus dan sebagainya.

“Anak-anak saya pun masih kecil lagi. Kalau mereka kena penyakit macamana? Saya juga yang susah.

“Saya merayu sangat, datang lah ke mari, kami tengah susah. Nak buang air pun tak tahu di mana. Jadi, saya minta dari pihak Indah Water Konsortium (IWK) untuk selesaikan masalah ini,” tambahnya.

Bagi Zahrim Nordin, 66, yang turut menghadapi masalah yang sama , dirinya beserta keluarga terpaksa ke surau Taman Sri Nanding sekiranya ingin menggunakan tandas.

“Tetapi di surau juga ramai orang yang menggunakan tandas. Air di surau juga habis. Saya berharap ada pihak yang datang untuk datang isi air di dalam tangki air surau sepertimana yang dibuat pada hari pertama dan kedua.

“Kadangkala, saya terpaksa bawa keluarga saya ke rumah adik saya yang terletak kira-kira 6 kilometer dari sini untuk urusan seperti mandi, buang air dan sebagainya,” katanya.

Zahrim Nordin ketika ditemui SatuBerita.

Katanya, ramai penduduk menghadapi masalah tandas tersumbat kerana rumah-rumah teres di kawasan berkenaan menggunakan saluran tandas yang sama.

“Maknanya, laluan saluran itu adalah sekaligus untuk semua rumah. Kalau dapat sedut apa yang tersumbat, semuanya tidak akan turut tersumbat lah.

“Longkang yang masih tersumbat pula akan jadi masalah jika berlaku lagi hujan. Air akan naik semula. Kita baru sahaja pun bersihkan rumah. Kalau boleh, saya harap penyelesaian kepada dua masalah ini dapat disegerakan oleh pihak berwajib,” ujarnya –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here