[VIDEO] Klinik Aranda Taman Sri Muda tawar rawatan percuma rayu lebih banyak sumbangan

0
1195

MUSIBAH yang menimpa tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita saling membantu.

Jika hidup dengan mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing pasti kehidupan kita semua akan menjadi lebih baik.

Begitulah gambaran yang boleh diberikan kepada Dr. Shalini Devi Ramachandran yang juga seorang mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang meletakkan ke tepi dahulu kesulitan dirinya untuk membantu komuniti yang ditimpa musibah.

Dr. Shalini tidak ragu-ragu untuk menjadikan Klinik Aranda miliknya sebuah kem perubatan untuk memberikan khidmat perubatan kepada masyarakat yang terjejas.

Pun begitu, usahanya itu masih tidak sempurna kerana musibah banjir yang menimpa mereka semua turut menyebabkan kekurangan bekalan ubat-ubatan yang diperlukan masyarakat setempat.

“Dalam sehari, kami menerima hampir 3 ke 4 kotak bekalan ubatan untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan.

“Tapi disebabkan kami sering mendapat pesakit-pesakit yang menghidap penyakit yang sama, ubat-ubatan itu jadi tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Tambahnya, ubat-ubatan sedia ada yang disumbangkan oleh doktor-doktor dari klinik lain serta wakil farmasi hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja.

Antara lain, ubat-ubatan yang terdapat di kem perubatan miliknya itu juga merupakan sumbangan daripada orang awam.

Katanya, rata-rata pesakit yang datang ke kem perubatan ini menghidap penyakit kulit, cirit birit, selesama, batuk, demam panas kerana dengi dan Covid-19 selain penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Sebentar tadi ada seorang pesakit yang mengalami sawan tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan tiada peralatan yang mencukupi jadi kami terpaksa menunggu ambulans untuk membawa pesakit tersebut ke hospital.

“Banyak kecemasan yang terjadi, jika saya mempunyai peralatan dan ubat-ubatan yang mencukupi, saya pasti saya mampu bantu lebih ramai orang,”jelasnya.

Ekoran itu, Dr. Shalini merayu orang ramai untuk memberikan lebih banyak sumbangan bagi membolehkan beliau membantu warga Taman Sri Muda.

Menurutnya, ikhtiar Dr. Shalini untuk membuka kem perubatan ini timbul apabila beliau tidak tenang memikirkan dugaan meskipun dirinya sendiri sedang menahan perit menanggung kerugian akibat kliniknya ditenggelami banjir.

“Bila semua barang dah hanyut, saya tidak boleh tidur malam memikirkannya. Saya pun bukan orang kaya. Saya kerja keras untuk buka klinik ini.

“Bagi saya, inilah cara terbaik untuk saya berbakti kepada masyarakat, kita sebagai mangsa pun tahu rasa perit itu,” ujarnya.

Menurut Dr. Shalini, Kliniknya yang diusahakan bersama-sama suaminya, Dr. Yuveneswara Murthi terpaksa menanggung kerugian sehingga mencecah lebih RM 800,000 melibatkan mesin ultra bunyi, mesin X-Ray, mesin Elektrokardiogram (ECG) dan sebagainya termasuk ubat-ubatan yang berharga lebih RM 200,000.

Bagaimanpun katanya, tiada apa yang membuatkan dirinya merasa gembira selain dapat berbakti kepada seluruh komuniti Taman Sri Muda mendapatkan rawatan secara percuma. – SB 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here