Alih segera kenderaan tersadai, elak dicuri

0
604

PEMILIK kenderaan tersadai di tepi jalan akibat banjir di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam Selangor dinasihatkan supaya segera mengalihkan kenderaan mereka bagi mengelak kes kecurian atau sabotaj.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kenderaan itu perlu dialihkan ke tempat lebih selamat bagi mencegah perbuatan khianat atau curi kenderaan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, kejadian banjir antara 18 hingga 22 Disember lalu di kawasan itu menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan kenderaan rosak ditenggelami air. 

“Selepas banjir di kawasan Pekan Sri Muda Seksyen 25 surut, hasil rondaan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mendapati kenderaan rosak yang ditinggalkan di tepi jalan masih belum dialihkan oleh pemilik masing-masing.

“Pemilik dinasihatkan untuk menunda kenderaan masing-masing ke tempat yang lebih selamat bagi mencegah dikhianati atau dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh berhubung terus di talian 03-55202230 atau 019-6546007 ASP Akmal Rabiatun Zaini (Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik) IPD Shah Alam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baharudin berkata, kenderaan yang dikesan belum ditunda adalah di Persiaran Budiman dari Bulatan Budiman Kuil menghala Bulatan Budiman Masjid (tiga kereta); Persiaran Aman hadapan kawasan perumahan Jalan Riang 25/117 (14 kereta) ; Jalan Sepadu 25/123 (enam kereta) dan Jalan Abadi 25/58 hadapan Balai Polis Sri Muda (lapan kereta). 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebanyak 12,725 laporan diterima IPD Shah Alam berkaitan banjir setakat ini. 

Menurutnya, laporan yang dibuat adalah bagi memaklumkan berkenaan kerosakan harta benda seperti peralatan rumah, kerosakan kereta yang ditenggelami air dan terkandas banjir yang menyebabkan mereka tidak dapat hadir kerja.

Beliau berkata, bagi membantu memudahkan mangsa banjir membuat laporan polis berkaitan kerosakan yang dialami, IPD Shah Alam melaksanakan elemen seperti Balai Polis Bergerak, Mobile Patrol Vehicle (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) yang akan menerima laporan polis daripada mangsa banjir di lokasi mangsa berada.

“Laporan berkenaan boleh diambil oleh pengadu di mana-mana balai berdekatan, dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis dibuat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here