Guna pam sedut air banjir ‘termenung’ di Pahang

0
255

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan lebih 10 unit pam untuk menyedut air yang bertakung susulan kejadian banjir di Pahang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Ir. Mohd. Noor Bidin berkata, pam terpaksa digunakan bagi mengatasi banjir ‘termenung’ yang berlaku di beberapa kawasan di Kuantan, Pekan dan Temerloh.

Keadaan tersebut katanya, menimbulkan masalah pada penduduk setempat dan sudah digunakan sejak seminggu lalu.

“Penggunaan pam dianggap berkesan bagi mengeringkan air yang tidak mengalir keluar di empat kampung di Kuantan dan masing-masing satu di Pekan dan Temerloh.

“Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal (BPME) JPS kini sedang bertungkus lumus menyediakan pam untuk menyedut air di kawasan air ‘termenung’, sekiranya tidak disedut ia menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat,” katanya.

Pihaknya mendapat bantuan tambahan pam daripada JPS Malaysia (BPME) ibu pejabat bagi menampung keperluan semasa.

Mohd. Noor berkata, jumlah penggunaan pam bergantung kepada keluasan kawasan air yang bertakung, sebagai contoh di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Pandan, Kuantan sebanyak empat unit pam digunakan.

“Kita sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan gelombang ke dua banjir, semua kakitangan diarahkan bersedia untuk bertugas sekiranya diperlukan.

“Penduduk dinasihatkan supaya menghubungi pihak JPS sekiranya terdapat air ‘termenung’ di kawasan penempatan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here