Simpati mangsa banjir jadi ‘pembakar semangat’ bantu cuci pakaian

0
851

BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kejadian banjir yang berlaku secara mengejut di Lembah Klang dan Selangor baru-baru ini cukup memberi kesan yang mendalam.

Bukan hanya kepada mangsa-mangsa banjir malah masyarakat yang menyaksikannya sendiri menerusi laporan berita dan perkongsian di media sosial turut sama bersedih.

Selain daripada perabot, mangsa banjir juga terpaksa membasuh semula pakaian mereka yang lama terendam lumpur dan pastinya dobi layan diri menjadi tempat utama untuk mencuci kerana terlalu banyak pakaian yang harus dibersihkan.

Pengusaha Dobi, Abdul Haris Bachok@Abdullah, 48, memulakan insiatif mencuci pakaian mangsa banjir bersama pasukannya sendiri bagi meringankan beban mangsa bencana itu di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor.

Menurutnya, rasa simpati mengenangkan nasib mangsa banjir menjadi ‘pembakar semangat’ dia dan isteri, Suhaizah Abd. Hadi, 49, memulakan inisiatif tersebut.

“Allah gerakkan hati kami, saya dan isteri, apa yang kita boleh buat, kita mampu, kita ada washer (mesin basuh), kita ada dobi, kami terfikir untuk bantu cuci pakaian. 

“Saya dengan sahabat saya, pasukan saya, kami pergi hari kedua selepas hari kejadian di Taman Sri Nanding, berkat penduduk di sana tolong kami bawa jalan masuk ikut jalan dalam,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Tambah Abdul Haris, kos mencuci pakaian mangsa banjir pada tiga hari pertama ditanggung sepenuhnya oleh pasukannya, namun selepas hampir putus asa untuk teruskan usaha membantu kerana kos yang tinggi, mereka terima sumbangan dari pelbagai pihak.

“Pada awalnya, untuk tiga hari pertama memang atas tanggungan sendiri, masuk hari keempat ada orang beri sumbangan dan kami iklankan di Facebook, mereka membuatkan kami lebih semangat untuk teruskan usaha ini. 

“Terima kasih kepada yang beri sumbangan, kerana kami hampir putus asa hari kedua dan ketiga kerana macam mana untuk dapatkan sumber. Yang saya terharu, keluarga mangsa sendiri yang membuat sumbangan,” katanya.

Dalam pada itu, kata Abdul Haris, pengangkutan menjadi salah satu masalah untuk mereka membawa pakaian mangsa banjir dari rumah mangsa ke Dobi Zahris miliknya yang terletak di Taman Bukit Pandan, Cheras, Kuala Lumpur.

“Bayangkan kalau kami pergi, satu van Juara penuh dengan pakaian. Cuma masalah kami di sini, cuma isu pengangkutan kami masalah, hari ini mereka minta tolong lagi tapi kami tidak dapat nak puaskan semua kerana masalah pengangkutan. 

“Itu yang membuatkan kami hanya mampu ambil (pakaian) maksimum lima mangsa. Jadi satu hari, kita boleh siapkan dalam 150 kg. Kami beroperasi pada waktu malam, hingga lewat pagi,” ujarnya.

Idea dan insiatif membantu mangsa banjir dengan mencuci pakaian mereka di dobi ini bagi memastikan beban mereka selepas musibah ini dapat diringankan.

Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan, boleh salurkan kepada nombor akaun bank rasmi pihak Dobi Zahris MAYBANK ZAHRIS ENTERPRISE – 512240316330. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here