KKM siasat Ahli Parlimen Hulu Langat, didakwa tidak patuh SOP

0
393

AHLI Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus boleh dikenakan denda RM1,000 jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk menjalankan kuarantin di rumah sebaik pulang dari luar negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, buat masa ini pihaknya sedang menyiasat mengenai dakwaan Hasanuddin tidak menjalani kuarantin tujuh hari selepas dilihat keluar ke kawasannya yang dilanda banjir beberapa hari selepas pulang dari luar negara.

“Kami sedang berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kesnya. Dia sebelum ini memohon pengecualian kuarantin di rumah untuk perjalanan antara 8 hingga 12 Disember untuk menyertai Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

“Pengecualian itu diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kita ada untuk perjalanan rasmi.

“Bagaimanapun, Hasanuddin tiba di negara ini pada 22 Disember lalu, maka permohonan asalnya untuk pengecualian di rumah bertindih kerana kita dapati beliau turut membuat perjalanan dari Turki ke Iran dan Pakistan,” katanya pada sidang media khas, pada Sabtu.

Tambah beliau, pada 20 Disember lalu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan juga sudah menghantar e-mel kepadanya bagi memaklumkan permohonan kuarantin di rumah sudah diluluskan.

Namun, Hasanuddin dikecam oleh rakyat Malaysia selepas beliau berkongsi gambar percutiannya di sebuah pergunungan yang terletak di Iran di akaun Facebooknya, ketika banjir melanda kawasannya.

Hasanuddin kemudian sudah memadamkan gambar yang dimuat naik itu serta menggantikannya dengan gambar beliau bertemu beberapa orang kenamaan di Iran.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada menteri Kabinet yang berada di luar negara untuk pulang segera itu perlu menjalani kuarantin atau pun tidak, Khairy berkata, SOP bagi mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara perlu dipatuhi.

“Buat masa ini, mereka perlu jalani kuarantin, walaupun dipanggil pulang. Namun sangat penting untuk kita berwaspada dan hati-hati. Maka perkara itu (kuarantin) masih terpakai,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

“Saya dapat banyak soalan mengenai menteri-menteri Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana yang ada di luar negara, balik segera,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here