PM arah semua menteri Kabinet batalkan percutian

0
335

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua menteri Kabinet supaya membatalkan percutian masing-masing ekoran situasi banjir seluruh negara ketika ini.

Dalam rakaman video difahamkan semasa sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, Bentong, Ismail Sabri dalam nada tegas meminta menteri Kabinet bersama-sama membantu rakyat.

“Mereka (menteri) yang masih belum bercuti dan sebagainya, batalkan percutian masing-masing sehingga selesai semua masalah banjir ini.

“Mana yang ada di luar negara, balik segera supaya kita bersama-sama rakyat yang sedang kesusahan ini,” katanya dalam video berkenaan.

Sementara itu, dalam hantaran di akaun Facebook rasminya, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa-mangsa banjir yang meninggal dunia di bawah Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Sebelum ini, bantuan yang disalurkan di bawah BWI itu berjumlah RM5,000.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut bersetuju menyalurkan peruntukan secara terus berjumlah RM50 juta kepada Pahang dan Selangor yang terjejas teruk akibat banjir.

Kata beliau, negeri-negeri lain yang terjejas dengan banjir juga akan menerima peruntukan berdasarkan kerosakan yang berlaku.

Baca artikel berkaitan: PM luang masa lawat mangsa banjir di Mentakab

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa melawat mangsa banjir di sekitar Mentakab dan Bentong, pada Jumaat.

“Saya amat sedih dan bersimpati dengan mereka yang terkorban ketika bencana banjir.

“Sebagai tanda prihatin, kerajaan akan salur sumbangan RM10,000 kepada waris mangsa-mangsa banjir yang meninggal dunia di bawah BWI,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebanyak RM75.8 juta dana daripada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diperuntukkan dalam usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca banjir.

Kaanya, GLC dan GLIC juga akan diminta untuk menggerakkan program membantu keluarga yang terkesan pasca banjir seperti kerja pembersihan dan sebagainya.

“Selain penyambungan kemudahan utiliti seperti air dan elektrik segera, saya akan arahkan Kementerian Multimedia dan Komunikasi untuk mempercepatkan pemulihan telekomunikasi di kawasan terjejas.

“Ini membolehkan ahli keluarga ketahui status ibu bapa dan sanak saudara melalui panggilan video dan sebagainya,” jelas beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here