Bersatu Johor pastikan Hasni terus pimpin kerajaan negeri

0
271

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KESEMUA 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan memastikan Datuk Hasni Mohammad kekal memimpin kerajaan negeri setelah kedudukan di negeri itu genting susulan kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.

Malah, mereka berpendapat tumpuan ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha untuk membantu rakyat di negeri itu yang diramal berdepan risiko banjir ekoran Monsun Timur Laut.

ADUN Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, wakil rakyat Bersatu Johor akan terus menyokong kepimpinan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita akan terus sokong Hasni menerajui negeri ini kerana beliau merupakan Menteri Besar Johor yang baik dan dekat di hati rakyat, senang bekerjasama walaupun beliau dari UMNO. Kita tidak ada masalah dan berpuas hati dengan khidmatnya.

“Sokongan ini juga bagi menjaga kestabilan politik di Johor agar tidak terkesan dan kerajaan negeri boleh menumpukan perhatian untuk membantu rakyat dalam keadaan Covid-19 dan persediaan menghadapi banjir,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat semalam turut menjelaskan tiada keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kempas diadakan berikutan kematian Osman.

Ia kerana kekosongan kerusi DUN berkenaan berlaku selepas tiga tahun Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu diadakan iaitu pada 2018 selaras dengan fasal 23(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka di DUN Kempas dengan mengadakan PRK melainkan sekiranya Speaker DUN Johor memberitahu secara bertulis untuk diadakan.

Pemergian Osman malam kelmarin menjadikan kerajaan Johor ketika ini mempunyai 28 kerusi DUN diikuti gabungan pembangkan daripada Pakatan Harapan (PH) dengan 27 kerusi.

Sekiranya seorang sahaja ADUN menyokong kerajaan menarik sokongan sekali gus menyebabkan DUN Johor tergantung dengan masing-masing 27 kerusi yang berkemungkinan ia perlu dibubarkan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu antara ADUN yang berada dalam kerajaan Johor ketika ini bagi kerusi DUN Gambir selain bekas Menteri Besar Johor ke-17, Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong.

Sementara itu, Che Zakaria berkata, pemergian Osman adalah satu kehilangan besar kerana Bersatu Johor seakan hilang seorang pemimpin yang berwibawa dan vokal.

“Beliau merupakan sahabat yang baik. Osman adalah antara pengasas Bersatu semasa ditubuhkan di Johor Bahru dan saya bersama-sama bekas Menteri Besar Johor itu berjuang untuk Bersatu semasa di peringkat awal penubuhan parti sehingga kini,” katanya.

Mengulas majoriti usul dalam persidangan UMNO bahagian baru-baru ini yang mahu parti itu bertanding secara solo pada PRU-15, Che Zakaria berkata, itu adalah hak UMNO yang mungkin merasakan sudah kembali berpengaruh serta kuat tanpa perlu sokongan parti lain.

“Tidak mengapalah itu keputusan mereka, hak mereka. Bagi saya, apa yang Bersatu Johor perlu buat ketika ini ialah kuatkan parti sendiri dan betul-betul bersatu untuk menghadapi PRU-15,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here