Anwar sedia lepas jawatan Presiden PKR jika ada muka baharu dipilih

0
399

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia melepaskan jawatannya sekiranya terdapat muka baharu yang dipilih untuk menerajui parti itu.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau bersedia memberi laluan kepada muka baharu jika dipersetujui ahli parti.

Jelasnya, beliau juga sedia memberi ruang sekiranya ahli-ahli parti itu secara konsensus atau sepakat menerima pemimpin baharu bagi menggantikannya.

“Kita harus terbuka dan tidak boleh terlalu mengongkong kebangkitan tokoh baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang hari ini.

Beliau ditanya berhubung kesediannya untuk berundur sekiranya terdapat pemimpin baharu dipilih dalam kalangan ahli akar umbi PKR bagi jawatan Presiden.

Bagaimanapun Anwar berkata, ketika ini proses pemilihan bagi menentukan barisan kepemimpinan baharu dalam PKR masih belum diputuskan.

“Jika ada pemilihan kita mesti bagi ruang, tengok tokoh yang ditonjolkan. Kita lihat konsensus kepimpinan bagaimana, kemudian kita ‘move on’,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, mutu pembangunan asas seperti pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan selaras pindaan Rang Undang-undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mendapat kelulusan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negara hari ini.

“Kalau dasar itu telus, akauntabiliti, kerajaan yang baik, kita mesti jamin semua rakyat terutamanya yang susah dan miskin mestilah diberi pembelaan termasuk kepada semua kaum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here