Osman dikebumi di JB selepas zohor

0
347

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JENAZAH bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas, Johor Bahru hari ini dijadualkan selepas waktu zohor.

Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Md. Nasir Hashim memberitahu, pihaknya mendapat makluman perkembangan tersebut daripada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu.

“Jenazah Datuk Osman dijangka tiba dari Damansara, Selangor pada sebelah tengah hari ini.

“Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Raudah, Kampung Dato Onn, Larkin untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tegas dan amat disenangi oleh rakan-rakan dalam arena politik serta berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menggantikan Osman berkata, pemergian Osman merupakan suatu kehilangan besar kepada Bersatu.

Katanya, Bersatu Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman yang telah kembali ke Rahmatullah.

“Pemergian Allahyarham yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Johor ini amatlah dirasai dan merupakan suatu kehilangan besar kepada parti.

“Sejak daripada awal penubuhan parti Bersatu terutama di Negeri Johor, jasa Allahyarham kepada parti amatlah besar.

“Begitu juga sumbangannya sepanjang menjadi wakil rakyat kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Osman, 70, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pukul 11.45 malam tadi.

Sebelum itu pada 13 Oktober media melaporkan Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan.

Osman kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.

Bagaimanapun, pada 13 November 2021, Osman dilaporkan kembali stabil tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here