Pemandu treler terbabit nahas korban 10 mangsa mengaku tidak bersalah

0
273

SEORANG pemandu treler dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, hari ini atas 10 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan 10 individu, termasuk sembilan sekeluarga maut dalam tragedi Sabtu lalu.

Mohd. Rafi Jaafar, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Dia yang memandu treler jenis Hanvan didakwa memandu kenderaan dengan cara bahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian sembilan penumpang sebuah kereta dengan nombor pendaftaran WNL 1061 dan seorang pemandu kereta dengan nombor pendaftaran MAS 6651.

Penumpang kereta WNL 1061 ialah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan beradik, Mohd. Raid Fathi Abdul Razak, 10 bulan; Puteri Nur Ain Shalwana, 3; Mohd Hidayat Hakimie, 7; Mohd. Rokaizat Rezky, 9; Mohd. Aizat Syazwan, 10; Puteri Hidayah, 12, Razatul Aliah, 16 dan Mohd. Razarul Amin, 17, manakala pemandu kereta MAS 6651 ialah Muhammad Rahimi Rolex, 27.

Mohd. Rafi didakwa melakukan semua kesalahan itu di Kilometer 8.3 Lebuhraya ELITE dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke arah Shah Alam, kira-kira jam 12.02 malam, 18 Disember lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim dan Mohd. Asnawi Abu Hanipah serta Saidah Fasihah Che Yussoff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi, namun Mohd. Rafi merayu jaminan dikurangkan atas alasan isterinya tidak bekerja dan kini menjaga seorang anak yang sakit di Hospital Melaka.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan bersama syarat tambahan lesen memandu digantung serta merta, selain memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Januari 2022,

tertuduh sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan membabitkan treler dipandunya dan tiga kereta hingga menyebabkan 10 mangsa maut, Sabtu lalu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here