[VIDEO] ‘Masih ada terkandas’ – Mangsa banjir Taman Sri Muda kongsi pengalaman

Rayu sesiapa sahaja hulur bantuan, banjir terburuk kawasan itu.

0
501

KEADAAN mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor masih lagi terkesan dengan bencana yang berlaku, malah ada dalam kalangan penduduk terputus hubungan dengan ahli keluarga memandangkan jalan-jalan di sekitar daerah itu dinaiki air.

Kerja kerja menyelamat mangsa terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam masih diteruskan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Tidak hanya agensi kerajaan, malah pelbagai badan bukan kerajaan, sukarelawan turut tampil membawa bot persendirian mereka untuk membantu mangsa terkandas.

Seorang penduduk Taman Sri Muda yang hanya dikenali sebagai Devy, berkongsi pengalamannya ketika terperangkap selama satu malam di tingkat kedua rumahnya akibat tingkat pertama dinaiki air.

“Dari semalam, langsung satu orang pun tiada tolong kita, makan pun tak kasi, kita panggil, satu orang pun tiada datang tolong. Bot lalu, kita panggil ‘nanti nanti’, saya kata kita orang mahu bayar pun (mereka) tidak mahu. 

“Kita sampai sekarang sejuk lagi duduk satu orang. India pun tiada tolong, Cina pun tiada tolong. Pagi ini Melayu sahaja tolong kita,” katanya selepas diselamatkan menurut siaran langsung tinjauan Astro Awani.

Paras air bagaimanapun dilihat tidak surut, namun bergelora menyukarkan pasukan penyelamat untuk melancarkan gerakan menyelamat secara besar besaran.

Kata Devy, perabot dan peralatan elektrik di rumahnya tidak sempat diselamatkan, namun dia lebih risau akan haiwan peliharaannya yang masih terperangkap bersama rakannya.

“Saya punya barang di tingkat bawah satu pun tidak selamat, cuma di tingkat atas cuma ada tilam itu sahaja ada. Barang tidak mengapalah, saya risau orang tua di sana (rakannya), saya risau dia dengan anjing, saya punya dua ekor anjing di sana bersamanya.

“Sekarang mahu tolong, saya tidak tahu siapa mahu tolong. Jangan tengok orang, sesiapa pun tolong lah. Jangan tengok apa bangsa pun jangan, siapa susah tolong angkat keluar. Itu yang penting,” katanya sebak.

Sementara itu, seorang penduduk yang juga sukarelawan, Loganathan Muniapan berkata, banjir itu merupakan terburuk yang pernah dia lalui.

Loganathan menyatakan kekurangan logistik seperti sampan dan bot untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa yang masih terperangkap di kawasan berkenaan.

“Saya pernah melalui banjir, ini kali ketiga dan terburuk saya pernah lalui. Ramai penduduk-penduduk putus bekalan makanan, tidak mencukupi terutamanya bahagian pedalaman, mereka tidak dapat makanan secukupnya. 

“Paling penting logistik, tidak cukup sampan dan bot untuk sampaikan bantuan makanan kepada mereka. Mereka terkurung di tingkat kedua, tingkat pertama sudah penuh dengan air, ada yang warga tua merana perlukan bantuan,” katanya.

Loganasthan juga meminta supaya pihak berkuasa dapat menyalurkan logistik yang secukupnya untuk menyalurkan bantuan seperti makanan kepada mangsa yang masih terperangkap.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang anak, Paravisamy Thamby sempat menyelamatkan keluarganya yang dipindahkan di rumah keluarga terdekat.

“Saya tidak keluarkan barang-barang, saya keluarkan keluarga saya. Tapi barang-barang keperluan, peralatan elektrik sudah hangus tidak boleh buat apa, sampai bumbung air dia. Hari pertama dan hari kedua siapa pun tidak datang tolong kami. 

“Barang-barang semua rosak sepenuhnya. Penduduk Sri Muda yang banjir ini harta-harta semua habis. Haiwan peliharaan ada yang mati, tidak boleh buat apa-apa, tiada orang nak menyelamatkan,” luahnya.

Pada pagi Isnin, ketinggian air di kawasan berkenaan menunjukkan penurunan dan dijangka lebih ramai mangsa dapat dibawa keluar susulan pertambahan bantuan pelbagai pihak. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here