[VIDEO] Banjir: Hulu Langat terjejas teruk, bagaikan ‘dilanda tsunami’

0
476

KEADAAN kawasan di sekitar Hulu Langat bagaikan mimpi ngeri kepada penduduk-penduduknya apabila hampir kebanyakan tempat musnah termasuklah tempat tinggal, kenderaan, pakaian dan ada juga yang hanya tinggal sehelai sepinggang akibat dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Antara kawasan yang terjejas teruk seperti yang tular di media sosial adalah Kampung Batu 25 Sungai Lui, Kampung Batu 16, Kampung Batu 17, Kampung Batu 18, Kampung Sungai Serai dan Taman Sri Nanding.

Menerusi beberapa keping gambar dan video di media sosial, situasi di kawasan Kampung Batu 25 Sungai Lui sehingga ke Batu 18 Langat dilihat sangat terkesan selepas paras air banjir mula surut.

Terdapat banyak rumah penduduk yang musnah dan beberapa buah kenderaan yang telah tenggelam serta dihempap di bawah batang pokok yang besar ketika dihanyutkan air banjir.

Malah, dapat dilihat menerusi satu video yang berdurasi 58 saat, jalan di kawasan itu turut terputus akibat runtuhan yang terkesan dari banjir.

Bukan sahaja jalan terputus, komunikasi juga terputus mengakibatkan penduduk di kawasan itu sukar untuk dapatkan bantuan.

Terbaharu, menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 11,598 mangsa banjir daripada 4,318 keluarga kini ditempatkan di 74 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri Selangor.  – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here