UMNO jangan mudah lupa diri, Muhyiddin beri peringatan

0
471

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pihak-pihak tertentu dalam UMNO agar jangan mudah lupa diri dan menghorrmati sokongan yang diberikan oleh partinya dan Perikatan Nasional (PN) terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Pengerusi PN memahami kebimbangan ahli-ahli Bersatu yang bertanya mengenai kedudukan parti itu dan PN dalam kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh pemimpin UMNO sedangkan UMNO telah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, Muhyiddin menjelaskan, sokongan terhadap Ismail Sabri adalah berasaskan kepada terma-terma tertentu yang telah dipersetujui bersama dan selagimana terma-terma itu dipatuhi, selagi itulah Bersatu memberikan sokongan sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Tetapi sepertimana yang disebut oleh YAB Perdana Menteri sendiri, UMNO kembali memegang tampuk kerajaan bukan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan yang diberikan oleh parti-parti PN, GPS, PBS dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

“Jadi, saya ingin berpesan kepada pihak-pihak tertentu di dalam UMNO. Hormatlah sedikit. Jangan mudah lupa diri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Bersatu Kali Keempat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, Bersatu tidak pernah menggadaikan prinsip amanah dan integriti kerana inilah nilai yang menjadi asas penubuhan parti itu.

Tegas Muhyiddin, dalam keadaan yang begitu meruncing sekalipun, Bersatu tidak akan sekali-kali menggadaikan prinsip tersebut.

“Sepanjang 17 bulan saya menjadi Perdana Menteri, inilah yang saya pegang dan tegaskan bahawa kerajaan pimpinan saya tidak berkompromi dalam soal rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan demi mempertahankan prinsip integriti,” jelasnya.

Beliau berani mengatakan perkara itu kerana Bersatu pernah melalui sejarah di mana parti itu diuji tatkala kita memegang tampuk kuasa.

“Kita diugut dan ditekan secara politik untuk melakukan perkara yang tidak berintegriti dan tidak berperlembagaan jika mahu terus berada di tampuk kuasa.

“Dalam menghadapi ugutan dan tekanan ini, saya sebagai Presiden parti bertanggungjawab mempertahankan prinsip parti kita dan prinsip perjuangan saya yang berteraskan integriti dan amanah walaupun saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Muhyiddin tahu ramai ahli parti yang kecewa dengan apa yang berlaku dan mereka tidak dapat menerima hakikat kerajaan PN yang sama-sama ditubuhkan dengan tujuan untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang meruncing dijatuhkan secara yang tidak bermoral.

Menurut beliau, mereka bimbang apa akan jadi kepada Bersatu apabila Perdana Menteri bukan lagi daripada parti itu dan ada yang kata Bersatu tidak lagi mempunyai masa depan.

“Walaupun saya sebagai Presiden Bersatu dan PN tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tetapi saya yakin bahawa saya telah melakukan perkara yang betul dengan mengikut kehendak undang-undang dan perlembagaan serta prinsip integriti.

“Itu yang penting dan kita buktikan secara nyata kepada rakyat bahawa kita bukan parti yang rakus kuasa. Kita bukan parti yang tamak haloba. Kita bukan parti gangster,” katanya.

Muhyiddin turut menegaskan, Bersatu akan terus teguh mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta hak rakyat untuk mempelajari bahasa-bahasa lain termasuk bahasa ibunda kaum-kaum yang ada di Malaysia. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here