[VIDEO] Kita bukan parti gangster, rakus kuasa – Muhyiddin

0
358

RAKYAT luar bandar mahukan pembangunan infrastruktur yang baik, jaringan digital menyeluruh, sementera itu rakyat di bandar mahu menikmati kehidupan yang lebih lestari dengan pembangunan yang mapan dan mesra alam sekitar. 

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya perkara-perkara ini diperjuangkan oleh parti, malah dilaksanakan dengan baik apabila parti itu membentuk kerajaan, maka parti itu akan mendapat sokongan rakyat yang memperolehi manfaat secara langsung daripada pencapaiannya dalam memenuhi keperluan mereka. 

“Keduanya ialah aspek khidmat atau service. Golongan miskin, berpendapatan rendah dan orang kurang upaya mahu melihat sejauh mana sesebuah parti itu mampu menyampaikan bantuan-bantuan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. 

“Ini termasuk bantuan barangan makanan, peralatan kesihatan, ubatan dan lain-lain bentuk sokongan termasuk sokongan dari aspek kesihatan mental,” katanya semasa ucapan dasar Presiden Parti di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, pada Ahad.

Tambah beliau, berdasarkan pemerhatian, Bersatu dan parti-parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) menunjukkan contoh yang baik kerana aktif menyampaikan bantuan bakul makanan dan lain-lain bentuk bantuan kepada rakyat yang memerlukan sepanjang negara menempuhi tempoh pandemik Covid-19. 

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, usaha itu perlu diteruskan kerana masih ramai rakyat yang memerlukan bantuan terutamanya terutamanya golongan yang mengalami kehilangan pekerjaan atau kerugian dalam perniagaan akibat wabak itu.

Mengulas lanjut beliau yang juga pengerusi PN berkata, beliau yakin bahawa beliau telah melakukan perkara yang betul dengan mengikut kehendak undang-undang dan perlembagaan serta prinsip integriti. 

“Itu yang penting dan kita buktikan secara nyata kepada rakyat bahawa kita bukan parti yang rakus kuasa, kita bukan parti yang tamak haloba, kita bukan parti gangster

“Kita adalah parti yang istiqamah mempertahankan prinsip integriti dan amanah demi kebajikan rakyat. Kita adalah parti yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Kita adalah parti yang patuh kepada undang-undang dan perlembagaan. Kita adalah parti yang beradab dan bertata susila.

“Ini adalah nilai-nilai utama yang dipegang oleh masyarakat kita. Nilai-nilai ini adalah nilai universal yang kekal abadi di jiwa sanubari insan yang merdeka dan bermaruah,” tegasnya.

Terdahulu, Muhyiddin telah mengerahkan semua jentera Bersatu di seluruh negara bagi membantu semua mangsa banjir yang terjejas dalam banjir besar yang melanda negara, ia selepas tiada tanda hujan akan reda dan paras air semakin meningkat.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah mengumumkan sejumlah peruntukan RM1 juta yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan dan mengalami kerosakan harta benda. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here