Bersatu terus langkah gagah, kukuh – Hamzah Zainuddin

0
357

LAUTAN merah menyala dalam dewan persidangan pada hari ini, mencerminkan kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti politik yang disegani dan dihormati, walaupun usianya masih boleh dibilang dengan jari. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Bersatu terus melangkah gagah dan kukuh memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara dengan kepimpinan yang telus, inklusif, terbuka dan berintegriti. 

Menurut beliau, bagi mencerminkan keterbukaan dan pengiktirafan parti kepada sayap BERSEKUTU, dua orang wakil daripada Sayap BERSEKUTU telah dilantik menganggotai Majls Pimpinan Tertinggi iaitu Datuk Seri Dr. Santhara Kumar dan Datuk Dr. Chong Fat Full, Ahli Dewan Undangan Negeri Pemanis, Johor. 

“Persidangan pada hari ini adalah persidangan yang bersejarah bagi Parti BERSATU, kerana buat pertama kali ianya disertai oleh para perwakilan daripada sayap BERSEKUTU. 

“Pada kesempatan ini, sukacita untuk saya maklumkan bahawa sayap BERSEKUTU telah pun ditubuhkan secara rasminya dengan teratur mengikut perlembagaan parti. 

“Bagi mengetuai sayap BERSEKUTU, YB Dato’ Seri Dr Santhara Kumar, Ahli Parlimen Segamat telah dilantik sebagai Ketua Sayap parti,” katanya dalam ucapan laporan Setiausaha Agung Parti di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, pada Ahad.

Selain itu, Hamzah juga mengumumkan Bersatu akan memuktamadkan cadangan pindaan perlembagaan bagi tujuan penubuhan satu lagi sayap baharu iaitu sayap Srikandi Muda.

Berdasarkan rekod ibu pejabat yang terkini, sebanyak 5,643 buah cawangan Bersatu telah ditubuhkan diseluruh negara, berbanding 2,960 buah cawangan pada tahun lalu. 

Bagi persidangan tahun ini, sebanyak 194 bahagian telah berjaya bermesyuarat dengan teratur mengikut perlembagaan parti. 

Daripada persidangan cawangan dan bahagian itu, 1,537 orang perwakilan layak hadir dan menerima notis menghadiri Persidangan Agung Tahunan Bersatu ke-4. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here