Sekolahku Sejahtera bukan subjek baharu, hanya penerapan nilai murni – Radzi

0
336


Konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bukan subjek baharu sebaliknya lebih kepada penerapan nilai murni kepada pelajar, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata konsep berkenaan memberi peluang kepada guru untuk ‘bercerita’ secara santai mengenai elemen penting kehidupan dalam bahasa mudah agar difahami dan diingati pelajar.

“Kita lihat anak-anak sejak kecil biasanya didedahkan dengan konsep penting yang terhad, contohnya seperti hormat-menghormati dan bekerjasama. Dalam konteks ‘Sekolahku Sejahtera’, kita ingin kembangkan konsep ini, contohnya menyentuh mengenai isu integriti dan kes penyelewengan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Tertutup Komuniti Putrajaya di sini, hari ini.

Isnin lepas (13 Dis), Radzi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa kementerian itu di Dewan Rakyat berkata KPM dalam peringkat akhir sesi libat urus berkaitan pengenalan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’, yang antara lain bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ juga membolehkan elemen nilai murni diterapkan sejak kecil bagi membolehkan murid mengingati kesan baik dan buruk sesuatu perbuatan atau perkara sehingga mereka dewasa kelak.

Mengulas mengenai penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir, Radzi berkata KPM sentiasa bekerjasama dengan jawatankuasa bencana daerah dan negeri sekiranya terdapat keperluan untuk menggunakan institusi pendidikan itu memandangkan pihak sekolah dilatih dengan pendekatan dan penyelesaian terbaik ketika banjir.

Beliau berkata pihak sekolah juga sentiasa bersiap siaga, khususnya di negeri yang menghadapi musim tengkujuh untuk menyediakan fasiliti berkaitan sekiranya banjir semakin teruk.

Kejohanan badminton anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) bertempat di Gelanggang Badminton, Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini, berlangsung tiga hari sejak semalam dan jadual berakhir esok (19 Dis). – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here