Buaya sesat atas jambatan di Port Dickson

0
350

KEMUNCULAN seekor buaya yang tersesat selepas air sungai yang naik mendadak di jambatan berhampiran Sungai Linggi Port Dickson, pada pukul 3 petang tadi mengejutkan pengguna jalan raya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Timar berkata, Pasukan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang segera ke lokasi kejadian dan mendapati ada seekor buaya yang berada di jambatan di Linggi.

“Kami percaya buaya ini tersesat dan anggota bomba mengambil inisiatif menghalau buaya ini kembali ke habitat asalnya di kawasan sungai berhampiran.

“Buaya ini tidak agresif cuma ia tidak tahu arah yang mahu dituju,” katanya ketika dihubungi tadi.

Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini katanya, diharapkan agar orang ramai lebih berhati-hati kerana boleh terserempak dengan buaya dan bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Cuaca masih tidak menentu ketika ini dan diharapkan agar orang ramai tidak membiarkan anak-anak bermain di lokasi berhampiran sungai yang parasnya semakin naik,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Kamal berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk sejak sejak beberapa tahun lalu.

“Dua kawasan yang teruk dilanda banjir ialah di kawasan Permatang Pasir dan Linggi termasuklah rumah kedai kawasan Linggi.

“Dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Balai Raya Permatang Pasir dan Balai Raya Linggi sejumlah 86 orang mangsa dipindahkan ke sini namun keadaan ini mungkin ada pertambahan mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here