[VIDEO] Bersatu tidak runtuh atas hinaan, makian – Ahmad Faizal

0
421

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian meskipun ada dakwaan yang meminta parti itu dibubarkan selepas kekalahan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu. 

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PRN Melaka sebenarnya sudah membuka mata rakyat dan pengundi bahawa Perikatan Nasional (PN) bersungguh-sungguh untuk memimpin negara. 

Beliau berkata, ia berdasarkan kejayaan ketika PRN Sabah dan momentum sokongan di Melaka yang perlu diperkukuhkan.

“Kita jangan sesekali menganggap PRN Melaka itu petanda yang buruk. Saya melihat penerimaan yang baik di kalangan rakyat Untuk Bersatu dan PN, bukan sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dan DUN Sungai Udang, tetapi, kita menunjukkan potensi amat baik di beberapa lagi kawasan seperti DUN Tanjung Bidara, Pantai Kundor dan Serkam. 

“Kita terima hakikat, kita kurang berjaya di Melaka, kita terima hakikat banyak yang kita perlu tambah baik. Tetapi, ada yang kononnya menyindir kita minta kita bubarkan parti. 

“Mereka lupa parti ini tidak runtuh atas hinaan, cercaan dan makian, bukan pejuang Bersatu namanya jika menganggap ini sebagai pengakhiran kepada kita,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Tahunan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi 2021 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini. 

Menurut Ahmad Faizal, pimpinan Bersatu dapat menghidu udara kemenangan, penerimaan rakyat dan pengundi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, Ahmad Faizal mengakui PPBM kekurangan ilmu pilihan raya namun suka menjadi very important person (VIP).

Jelas beliau, dua asas pilihan raya adalah strategi menyusun kerusi untuk dipertandingkan dan meletakkan bendera sewaktu berkempen.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Bersatu itu turut menegur sebahagian ahli yang lupa perjuangan parti selepas menyandang jawatan.

“Dalam kita melakukan persiapan untuk PRU-15; kita mesti bersedia untuk melakukan muhasabah dan penilaian diri. Bukan sahaja untuk Srikandi dan Armada tetapi untuk seluruh kepimpinan parti. Termasuk diri saya sendiri.

“Kita amalkan perkara-perkara yang kita ‘musuhi’ dulu, sewaktu kita tidak mempunyai jawatan dan kedudukan. Kita mesti cepat menolak segala kelemahan yang melalaikan. Jika mereka bergerak dengan kesombongan. kitalah pembawa jalur budi dan kesederhanaan,” tambah beliau. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here