Armada saran PRU-15 ditangguh, tumpu pulihkan negara

0
316

ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) menyarankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga negara benar-benar menyelesaikan masalah Covid-19 dan ekonomi. 

Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tarikh itu bagaimanapun terpulang kepada kemampuan kerajaan dalam usaha pemulihan negara yang sepatutnya berlangsung pada tahun hadapan dengan lebih rancak.

“Jadi, kita tak mahu perjudikan nyawa dan ekonomi rakyat hanya kerana beberapa kepimpinan UMNO risau akan kedudukan mereka jikalau ditempuh PRU-15, jadi kita harap kerajaan hari ini kekal stabil, Bersatu akan terus mendokong kerajaan pada hari ini. 

“Kita juga harap kerajaan pada hari ini menjunjung keluhuran perlembagaan kedaulatan undang-undang agar mereka yang dituduh dan yang didapati bersalah benar-benar menerima hukuman setimpal,” katanya pada sidang media ketika Perhimpunan Agung Tahunan Armada 2021, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika diminta mengulas beberapa kelemahan jentera BERSATU ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti yang dibangkitkan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam ucapan perasmian PAT ARMADA dan SRIKANDI BERSATU, beliau berkata kekalahan itu, selain pengalaman dalam PRN sabah memberi pengajaran bermakna untuk jentera parti merancang gerak kerja pda masa akan datang.

Selain itu beliau berkata, kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selain pengalaman dalam PRN Sabah hujung tahun lalu, memberi pengajaran bermakna untuk jentera parti merancang gerak kerja pada pilihan raya akan datang.

“Benar, ini antara cabaran utama BERSATU, dan ARMADA. Kebanyakan yang menyertai BERSATU tidak pernah menyertai parti politik lain sebelum ini. Ahli ARMADA pun semua pertama kali sertai politik. Saya pun pertama kali isi borang parti politik.

“Jadi memang kami kurang pengalaman dan ilmu, tapi kami akan dimatangkan dengan pengalaman yang dilalui di Sabah dan Melaka dengan belajar daripada kelemahan dan kita akan baiki tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

“Yang penting, kita tahu bagaimana untuk kekal relevan pada pilihan raya akan datang dan ARMADA perlu ada perancangan dan strategi yang khas,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapan perasmiannya berkata, sikap menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri adalah antara kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan besar Perikatan Nasional (PN), khususnya calon BERSATU di PRN Melaka.

Jentera BERSATU juga dilihat mengamalkan model politik lama apabila lebih gemar berkumpul sesama sendiri dan berseronok di Melaka, berbanding turun mendekati rakyat, selain kurang ‘ilmu pilihan raya’ serta kurang semangat berpasukan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here