Tiga lelaki, seorang wanita didakwa bunuh ejen insurans

0
300

TIGA lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ejen insurans.

S. Jeeva, 51, pengarah sebuah syarikat; M. Raja, 35 (pekerja bebas); P. Yogan Pillay, 25, (pemandu lori) dan seorang tertuduh wanita, M. Bereamalah, 39, (ejen insurans) mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian ke atas P. Rajasegar, 52, di sebuah menara syarikat insurans, Jalan Lintang di sini antara 10.30 pagi 12 Nov hingga 4.45 petang 2 Dis lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama  Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah  menetapkan 26 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here