[VIDEO] Shafie umum jadi calon PM, cabaran terbuka untuk Anwar?

0
442

JANJI Presiden parti Warisan, Datuk Shafie Afdal kepada rakyat Malaysia, beliau akan menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika mengumumkan secara rasmi kemasukkan parti tersebut ke Semenanjung.

Janji Shafie, sekiranya parti dipimpinnya, Warisan dipilih pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti, mereka akan memperjuangkan parti pelbagai kaum dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bangsa seperti parti yang disertainya sebelum ini.

Kata-katanya itu sekaligus memberi isyarat akan menjadi pencabar utama kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan nombor satu negara.

“Kita bawakan kepelbagaian merentasi agama, etnik, makanan dan tradisi.

“Kita perlu bermula hari ini, tidak boleh lagi tunggu esok atau minggu depan atau tahun depan,” katanya dalam satu majlis pelancaran pada Khamis di Kuala Lumpur.

Warisan adalah salah satu parti pembangkang yang tidak menyertai blok, Pakatan Harapan (PH), pengumuman tersebut secara tidak langsung memberi isyarat Warisan akan menjadi pencabar utama kepada PKR, parti dipimpin Anwar yang juga terdiri daripada latar belakang berbilang kaum.

Untuk rekod, PH sebelum ini menamakan Anwar sebagai calon PM mereka jika berjaya memenangi PRU.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sudah tiba masanya rakyat melakukan perubahan dalam landskap politik negara dengan menumpukan kesepaduan semua kaum.

Katanya, walaupun negara sudah mengecapi kemerdekaan lebih 60 tahun, rakyat Malaysia masih lagi terpisah dengan jurang yang sangat jauh.

“Tanpa UMNO, Melayu tidak akan mati. Orang Islam tidak akan mati tanpa PAS dan orang Cina tidak akan mati tanpa DAP,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal Agenda Daily.

Terdahulu, semasa krisis politik dicetuskan oleh Anwar yang berkomplot dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin, Shafie juga bercita-cita untuk menjadi calon PM dan membuat tawaran secara terbuka sekiranya Anwar gagal mendapat majoriti dan beliau mendapat majoriti, sepatutnya dirinya dilantik bagi jawatan nombor satu itu.

Bagaimanapun, Anwar dan Shafie masing-masing gagal mendapat majoriti yang diperlukan untuk menjadi PM. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here