[VIDEO] Pembangkang berpecah, GPS dijangka menang besar

0
265

DENGAN detik penentuan siapa yang dipilih pengundi Sarawak untuk menerajui negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang semakin hampir, dua cendekiawan berkongsi pandangan yang sama, yakni Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti muncul juara pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) Sabtu ini, namun persoalannya berapa banyak kerusi yang akan menjadi miliknya nanti.

Saintis politik Universiti Putra Malaysia, Prof Datuk Dr. Jayum Jawan dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir senada bahawa GPS tidak mempunyai masalah untuk menjadi yang pertama meraih majoriti mudah dalam pungutan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya ini.

“GPS dijangka menang mudah, malah perolehan dua pertiga majoriti juga bukan masalah besar bagi GPS, disebabkan oleh perpecahan dalam kalangan pembangkang,” kata Jayum kepada Bernama.

Beliau berkata, walaupun GPS baru ditubuhkan beberapa tahun lepas, namun ia dianggotai parti yang cukup matang yakni Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) yang mendominasi kerajaan sejak 1970an.

“Mereka mempunyai rangkaian kerja yang luas di peringkat akar umbi, jentera hebat yang bergerak lancar untuk berdepan dengan lawan mereka. Di samping itu tidak ada pertelagahan dalaman yang boleh melemahkan usaha mereka kelihatan, kecuali mungkin di beberapa kawasan, tidak banyak,” katanya.

Jayum berkata, GPS mempunyai kelebihan sebagai penyandang, dan dalam situasi kempen yang dihadkan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, kelebihan ini adalah “aset yang sangat besar.”

Katanya, apabila GPS mengumumkan barisan mereka dua hari sebelum penamaan calon, mereka mengekalkan 58 penyandang sebagai calon mereka, dan 24 muka baharu.

Beliau berkata, parti pembangkang sebaliknya bercelaru dengan ada yang bertanding dan menentang antara satu sama lain di kawasan yang sepatutnya boleh bekerjasama dan menyatukan sumber mereka bagi memiliki peluang yang lebih baik untuk menang.

Beliau menjangka, PBB akan dapat menyapu bersih semua kawasan majoriti Melayu/Melanau, namun beliau memberi amaran bahawa beberapa kekalahan boleh dialami oleh parti komponen GPS, khususnya di kawasan dominan kaum Dayak.

Jayum berkata, beliau melihat PDP adalah antara parti komponen GPS yang dijangka menghadapi cabaran hebat, dengan tiga kerusi yang perlu diperhatikan dengan teliti ialah Krian, Dudong dan Ba’ Kelalan.

Beliau berkata, SUPP juga dijangka tidak akan berjaya di beberapa DUN , manakala PRS akan menghadapi pilihan raya tanpa pemimpin utama yakni presiden parti, Mendiang Tan Sri Dr James Masing, yang meninggal dunia beberapa hari sebelum DUN dibubarkan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here