1MDB: Ismee bimbang keselamatan diri, keluarga

0
368

BEKAS Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail menyuarakan kesedihan kerana menjadi antara sasaran tindakan sivil yang difailkan syarikat itu sebelum ini.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-13 berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ismee merupakan salah seorang daripada sejumlah bekas pengarah yang disaman 1MDB dan bekas subsidiarinya, SRC International Sdn Bhd.

Dua syarikat itu memfailkan 22 saman sivil terhadap pelbagai entiti dan individu didakwa menipu mereka atau terlibat dengan perkara itu, secara sedar atau tidak.

Walau bagaimanapun SRC kemudian membatalkan saman terhadap Ismee. 1MDB kemudian turut menarik balik saman terhadapnya.

Hari ini, Ismee berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah membuat sebarang tawaran, di mana beliau memberikan bukti berkaitan Najib dan sebagai pertukaran, tidak dikenakan tindakan jenayah mahupun sivil atau dipanggil sebagai saksi.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Hariharan Tara Singh, beliau menegaskan keterangan yang diberikan kepada MACC sepanjang penyiasatan adalah benar.

Hariharan kemudian membangkitkan tindakan sivil terhadapnya.

Peguam itu berkata, tindakan itu boleh dikatakan sebagai tindakan kerajaan terhadapnya, kerana 1MDB dan SRC adalah entiti milik Menteri Kewangan Diperbadankan.

Hariharan: Adakah anda rasa dikhianati apabila kerajaan Malaysia, menerusi 1MDB, memfailkan tindakan sivil terhadap anda?

Ismee: Saya tak akan guna istilah dikhianati. Saya sangat sedih. Lebih kepada sedih, berbanding rasa dikhianati.

‘Saya bimbangkan keselamatan saya’

Ketika Hariharan bertanya jika Ismee rasa tertekan apabila diminta memberi keterangan kepada SPRM, beliau berkata tidak tetapi merasakan tidak pasti dan bimbang dengan apa yang berlaku ketika itu.

Beliau juga mengakui bimbang tentang keselamatan diri dan keluarganya.

“Ketika ia berlaku (skandal 1MDB), saya bimbangkan keselamatan saya dan keluarga.

“Namun tiada janji (oleh SPRM) tentang pendakwaan (jenayah) atau saman sivil,” katanya lagi.

Perbicaraan akan bersambung 5 Januari tahun depan.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here