Kerjasama FAM-Milo diharap mantapkan pembangunan bola sepak akar umbi

0
449

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap untuk memantapkan lagi ekosistem perkembangan sukan berkenaan di peringkat akar umbi menerusi jalinan kerjasama dengan Milo.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata menerusi kerjasama itu kedua-dua pihak mahu mengembangkan bola sepak menerusi penekanan terhadap pembangunan di peringkat akar umbi dan asas kejurulatihan.

Beliau berkata menerusi kerjasama lima tahun sehingga 2026 itu, pihaknya menyasarkan untuk mempunyai sehingga 800 akademi dengan 100,000 pemain di seluruh negara, berbanding 10,000 pemain berdaftar di 122 akademi di bawah Piagam SupaRimau FAM pada masa ini.

“Seperti sedia maklum, bola sepak akar umbi adalah kunci kepada masa depan, anak-anak masa kini adalah bintang masa hadapan. Sebagaimana era 80-an dan 90-an, usaha FAM dan Milo menyemai benih untuk masa depan dengan menyediakan platform untuk golongan muda mengetengahkan bakat mereka.

“Kita juga tidak boleh mengetepikan jurulatih, merekalah mengumpul dan melatih bakat ini. Kini kita ada lebih 1,000 akademi, kami berharap melalui pendidikan kejurulatihan, jumlah ini dapat meningkat kepada 5,000 menjelang 2026,” katanya di majlis pelancaran MILOxFAM yang diadakan secara maya, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Perniagaan (Unit Perniagaan Milo) Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata objektif utama kerjasama itu adalah untuk mewujudkan ekosistem pembangunan bola sepak akar umbi bersepadu dengan pendedahan awal kemahiran asas kepada generasi pelapis menjadi fokus utama.

“Kita akan mengadakan bengkel kejurulatihan bertujuan menyediakan jurulatih secara profesional dengan pengetahuan dan teknik membimbing kanak-kanak. 

“Keduanya, bengkel latihan kanak-kanak bagi membina kemahiran asas mereka dari kecil lagi, baik menerusi komuniti sukan akar umbi mahupun klinik bola sepak SupaRimau,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here