Harimau Kumbang serang anggota PERHILITAN ditembak mati

0
327

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak terpaksa melepaskan tembakan kepada seekor harimau kumbang jantan yang menyerang agensi tersebut di Kampung Kelatap, Pos Perwor, semalam. 

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, tindakan haiwan liar itu yang meluru ke arah anggota tersebut menyebabkan mereka terpaksa melepaskan tiga das tembakan bagi menyelamatkan diri setelah diserang berhampiran kawasan semak di kebun getah, kira-kira 8.30 pagi.

Katanya, ketika kejadian berlaku, anggota berkenaan sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki Orang Asli berusia 18 tahun cedera diserang binatang buas itu pada Rabu.

“Empat kakitangan Jabatan PERHILITAN Daerah Sungai Siput telah menemui Tok Batin Pos Perwor di lapangan bagi mendapatkan maklumat terperinci dan menunjukkan lokasi kejadian serta turut membawa perangkap bersesuaian bagi menangkap hidupan liar tersebut.

“Setelah ditunjukkan lokasi kejadian, mereka mula menjejaki kesan-kesan yang ada dan telah menemukan beberapa kesan tapak dipercayai harimau dan kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang itu mendapati harimau tersebut dalam lingkungan umur sembilan dan 10 tahun serta terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan peha ketika bergelut dengan mangsa semalam. 

Ujarnya, turut ditemukan pada bangkai haiwan itu seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang.

“Kami percaya kecederaan pada kaki kanan belakang akibat terkena jerat dawai kabel menyebabkan harimau kumbang berkenaan menjadi agresif dan menyerang manusia.

“Sehubungan itu, Jabatan PERHILITAN  menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar,” katanya.

Tambah beliau, bangkai harimau kumbang itu dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai untuk bedah siasat.

Yusoff juga sempat menasihatkan penduduk kampung agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here