Mahathir dakwa Tony Pua ‘’terlalu angkuh’’, bertindak seperti menteri

0
291

Dr. MAHATHIR Mohamad pada Selasa mempertahankan tulisannya mengenai pembantu bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng iaitu Tony Pua yang beliau dakwa dalam memoirnya masuk campur dalam urusan kerajaan dan mengugut seorang pemaju sebuah projek hartanah bermasalah.

Bekas Perdana Menteri itu mengatakan Ahli Parlimen Damansara (DAP) berkelakuan “seakan-akan dia seorang menteri” berbanding jawatannya yang hanya bergelar Setiausaha Politik.

“Dia terlalu angkuh. Beliau berkelakuan macam dialah yang menteri. Sebagai Setiausaha Politik, anda harus lapor isu politik dalam negara, bukan pergi keliling laksanakan polisi kerajaan,’’ katanya ketika ditanya mengenai isu tersebut dalam sebuah sesi dalam talian hari ini, lapor portal MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mendedahkan bahawa beliau turut menerima banyak aduan terhadap individu tersebut.

“Ada banyak perkara yang dikatakan terhadap dia dan latar belakangnya. Namun ramai mengadu kepada saya. Jika saya ingin memetik kenyataan mereka, pastinya buku ini akan dipenuhi dengan kes berkaitan,’’ katanya.

Menerusi buku berjudul “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, Mahathir berkata, beliau terpaksa menghentikan tindakan seorang pemimpin DAP yang didapati menyertai mesyuarat di luar bidang kuasanya.

“Terdapat juga beberapa insiden penasihat ini bercakap di khalayak ramai mewakili kerajaan meskipun tidak mempunyai jawatan.

Disebabkan penasihat ini, kata Dr. Mahathir, ramai pemilik syarikat tidak menyokong kerajaan.

“Apabila kita mempunyai individu yang bukan seorang menteri, hanya setiausaha politik, memberi arahan atau mengugut mereka, ini menunjukkan anda seorang yang angkuh,” tambahnya.

Sementara itu, Tony tampil mengakui dirinya adalah individu yang dirujuk Dr Mahathir.

Tony berkata, projek yang dimaksudkan itu adalah projek Exchange106, bangunan pencakar langit yang merupakan sebahagian daripada projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, yang dibangunkan oleh Mulia Property Development Sdn Bhd., sebuah syarikat yang berkait dengan taikun kontroversi Indonesia, Djoko Tjandra.

Namun beliau berkata tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha rundingan dengan syarikat tersebut, sambil menambah Guan Eng memberikan arahan kepada beliau untuk “memantau perkembangan dan resolusi” isu-isu berkenaan projek tersebut.

“Masalahnya adalah, saya tidak boleh ‘mengugut’ pemaju hartanah itu kerana saya tak pernah berjumpa mahu pun bercakap dengan mereka!” kata Tony, sambil menambah usaha rundingan dengan syarikat tersebut dijalankan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Asri Hamidon dan TRX City Sdn. Bhd. – syarikat dimiliki kementerian kewangan yang juga pemaju utama Tun Razak Exchange.

Tony berkata, Djoko marah disebabkan proses ketekunan wajar (due diligence) yang diminta oleh Kementerian Kewangan, bertemu dengan Dr. Mahathir dalam sebuah pertemuan yang diatur oleh “salah seorang daripada penasihat yang dipercayai Dr. Mahathir”.

“Dr. Mahathir marah apabila diberitahu oleh Pak Joe bahawa Tony sudah ‘mengugut’ untuk ambil alih pegangan saham Mulia sebanyak 49% hanya dengan harga RM1 selepas syarikat itu melabur lebih dari RM1.1 bilion dalam projek itu.

“Malangnya, beliau (Dr. Mahathir) pilih untuk percaya kata-kata taikun asing yang jahat, di mana dia sebelum ini disabitkan kesalahan menipu ratusan bilion rupiah dari Bank Bali pada 2009; dan kemudian disabitkan sekali lagi kerana pemalsuan dokumen pada 2020 dan rasuah pada 2021,” kata Tony, merujuk kepada Djoko.

Projek RM3 bilion Exchange106 menghadapi masalah selepas pemaju gagal mendapatkan pinjaman bagi separuh daripada kos projek tersebut.

Tony berkata, syarikat itu ditawarkan dana oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, dengan timbal balik kerajaan diberikan pemilikan “sementara” sebanyak 51% daripada projek tersebut.

Beliau berkata, susulan tuduhan terhadapnya, Dr. Mahathir memanggil Guan Eng pada November 2018, sekitar enam bulan Pakatan Harapan memegang pentadbiran kerajaan.

Namun Tony berkata, Guan Eng mempertahankan peranan beliau dalam isu dengan pemaju hartanah, sambil menambah tindakan kementerian kewangan itu diluluskan selepas beberapa kali perbincangan diadakan dalam Kabinet.

Tony turut berkata, beliau bangga dengan “peranan kecil yang diambilnya… bagi melindungi kepentingan pembayar cukai Malaysia”, selain turut menambah ia juga bagi memastikan projek tersebut diselesaikan tanpa sebarang kerugian ditanggung oleh kerajaan.

“Dr. Mahathir sepatutnya berbangga dengan kerajaan beliau kerana berjaya melindungi kepentiangan rakyat dalam skandal berbilion ringgit dan rekodkan pencapaian beliau itu dalam memoirnya.

“Namuan beliau pilih untuk tulis perkara yang remeh dan menulis bagaimana beliau dapat ‘menyekat’ seorang setiausaha politik bawahan dalam kementerian kewangan.” – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here