‘Siapa yang ikhlas, siapa yang langgar Piagam MN?’ – Wan Saiful

0
293

APAKAH maksud sebenarnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan apabila dia mengatakan Piagam Muafakat Nasional (MN) adalah persefahaman yang tidak mengikat?

Persoalan itu ditimbulkan oleh Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai reaksi terhadap kenyataan  Mohamad pada Sabtu merujuk kepada penolakan Pas terhadap UMNO dan MN.

Mohamad, menurut laporan laporan media berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO telah memungkiri piagam MN adalah tersasar.

Wan Saiful turut melontarkan pertanyaan kepada Mohamad, sekiranya piagam MN tidak mengikat, adakah itu bermakna hanya kata-kata UMNO sahaja yang perlu ditaati oleh mereka?

“Adakah ‘firman’ UMNO satu-satunya ikatan yang diambil kira? Dan bagaimana pula Tok Mat boleh kata ‘untuk paksa UMNO terima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan’?

“Takkan Tok Mat buat-buat lupa bahawa dia sendiri yang pengerusikan mesyuarat yang putuskan untuk jemput Bersatu masuk MN. Bagaimana boleh dipaksa, bukankah Timbalan Presiden pengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan jemput Bersatu, dan Presiden (UMNO) pula tandatangan surat jemputan serta umumkan ke seantero negara?” soalnya dalam dalam hantaran laman Facebook rasminya pada Ahad.

Tambah Wan Saiful, sekiranya dilihat kepada kronologi penubuhan MN,  semua pihak boleh melihat siapalaj yang ikhlas berpegang kepada Piagam MN dan siapakah yang melanggarinya.

“Piagam MN dilancarkan pada 2019. Pada Ogos 2020, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan bahawa Tok Mat telah mempengerusikan mesyuarat MN yang buat keputusan untuk jemput Bersatu.

“Susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tok Mat itu, satu surat jemputan kepada Bersatu telah ditandatangani oleh Presiden Pas dan Presiden UMNO bertarikh 13 Ogos 2020. Bersatu kemudian bersetuju menerima jemputan itu. Tarikh surat penerimaan dari Bersatu ialah 18 Ogos 2020,” jelasnya. 

Bagaimanapun katanya, pada Mac lepas UMNO membuat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk menolak penyatuan ummah dan tak mahu kerjasama.

“Maksudnya UMNO sendiri mengubah keputusan yang dia buat pada Ogos sebelumnya. 

“Ke mana hilangnya semangat Piagam MN yang membawa kepada keputusan untuk bekerjasama pada Ogos sebelum itu? Surat sudah ditandatangani, tetapi siapa yang ubah?” tanya beliau lagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here