Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tiga tahanan kes narkotik lari dari hospital -

Tiga tahanan kes narkotik lari dari hospital

TIGA tahanan kes narkotik yang sedang menerima rawatan di Hospital Mesra Bukit Padang, di Kota Kinabalu, Sabah melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang wad di hospital berkenaan, pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 11 pagi membabitkan tiga pesakit lelaki iaitu Mohd Azrul Dorah, 28; Mohamed Hidswan Jumalti, 34 dan Mohammad Sobrie Muali, 32.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian disedari kakitangan hospital selepas melihat kelibat pesakit sedang memanjat tembok di belakang wad untuk melarikan diri.

Katanya, menyedari perkara itu, kakitangan hospital segera mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk menangkap pesakit terbabit.

“Bagaimanapun, ketika itu semua pesakit terbabit gagal ditemui walaupun usaha mencari dijalankan di kawasan hospital berkenaan.

“Kakitangan hospital kemudian kembali ke wad untuk membuat pemeriksaan berkaitan identiti tahanan yang melarikan diri,” katanya memetik laporan HM, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga pesakit berjaya melarikan diri.

Katanya, siasatan awal mendapati, pesakit Mohd Azrul dimasukkan ke Hospital Mesra pada 17 November lalu atas kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala Mohamed Hidswan dan Mohammad Sobrie dimasukkan ke hospital pada 30 November lalu dan 1 Disember lalu atas kesalahan Seksyen 39C.

“Semua pesakit yang melarikan diri adalah tahanan yang terbabit dalam kes narkotik dan dimasukkan ke Hospital Mesra, Bukit Padang atas arahan Mahkamah mengikut Seksyen 342 CPC kerana disyaki mempunyai masalah mental dan diarahkan untuk menjalani rawatan sebelum dihadapkan kembali ke mahkamah,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dilakukan di sekitar bandar raya ini.

“Orang ramai yang melihat suspek atau mempunyai maklumat kes ini segera menghubungi pegawai Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau 088-529222,” katanya. – SB