Pati cuba rasuah anggota PGA

0
444

KERANA terdesak dan cuba mengelak daripada ditahan, beberapa pendatang tanpa izin (Pati) cuba merasuah pihak berkuasa sebanyak RM6,000 supaya melepaskan sekumpulan 25 rakan mereka yang ditangkap serta barang rampasan.

Namun, tindakan itu merasuah anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih gagal, dan kesemua Pati itu ditahan kerana memasuki negara ini secara haram.

Ada antara Pati itu didapati memiliki kad pengenalan Malaysia, dipercayai palsu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, 25 Pati berkenaan ditahan oleh pasukannya menerusi dua tangkapan berasingan di sini, semalam.

Pasukan yang membuat rondaan menahan tiga kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Tali Air, Morib, Selangor pada jam 7.30 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menahan tiga lelaki dewasa warga asing berumur 32 tahun hingga 35 tahun dipercayai sebagai tekong darat (transpoter).

“Polis turut menahan 11 lelaki dewasa warga asing berumur antara 19 hingga 37 tahun, serta 10 perempuan dewasa warga asing berumur antara 18 hingga 44 tahun yang berada dalam kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rizal berkata, siasatan awal mendapati semua Pati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan baru masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut menggunakan bot. 

“Ketika pemeriksaan juga, polis mendapati seorang Pati memiliki kad pengenalan Malaysia dipercayai palsu,” katanya.

Dalam tangkapan kedua pula katanya, pada 1.30 tengah hari, polis menahan seorang lelaki dewasa berumur 34 tahun dipercayai sebagai perancang utama kegiatan penyeludupan Pati di Pantai Baru Morib bersabit dengan laporan tangkapan pertama.

“Semasa proses tangkapan dijalankan, terdapat cubaan memberi wang suapan sebanyak RM6,000 bagi membebaskan kesemua tangkapan pertama dan rampasan. 

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1963 dan Akta SPRM 2009.

“Polis turut merampas, empat kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai RM6,000 (cubaan rasuah). Anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM55,550,” katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid 19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga anggota Polis Diraja Malaysia.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here