Tiada ladang penternakan babi di kawasan lokaliti JE

0
215

Oleh RIZQI ZABIDI

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesahkan tiada ladang penternakan babi beroperasi di kawasan lokaliti wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar.

Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, tinjauan pihaknya termasuk dengan menggunakan dron mendapati tiada sebarang lokasi berisiko di kawasan tersebut kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.

Dalam masa sama katanya, kalangan penduduk di situ juga tidak pernah mengadu mengenai kehadiran babi liar atau babi hutan di kawasan tersebut.

“Sehubungan itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Veterinar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah mengenal pasti lokasi untuk menangkap burung hijrah bagi ujian virus JE.

“Hasil kajian entomologi di lokaliti wabak juga telah menemukan 11 pembiakan nyamuk Culex Tritaeniorhynchus dan Culex Sitiens yang berpotensi menyebarkan virus JE,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak 25 November lalu, JKN Kedah memaklumkan terdapat dua kematian melibatkan kes JE yang mula dikesan pada 18 dan dan 25 November lalu.

Secara keseluruhannya terdapat tiga kematian di Kedah akibat JE tahun ini dengan jumlah kes juga meningkat kepada 10 berbanding cuma lapan pada tahun lalu.

Othman menambah, pengesanan kes secara aktif (ACD) turut telah dijalankan terhadap 674 daripada 2,926 penduduk yang tinggal di kedua-dua lokaliti wabak tersebut.

“Sehingga kini, tiada penduduk didapati bergejala. Setakat ini kami juga telah melaksanakan semburan ruang termal di 412 premis dan semburan ruang Ultra Low Volume (ULV) di 912 premis bagi menghalang pembiakan nyamuk itu,” katanya.

Tambahnya, JKN dalam masa sama turut menggunakan sebanyak 672 mililiter (ML) Abate 500E bagi tujuan ‘larvaciding’.  – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here