PRN Sarawak: Jangan berarak pada hari penamaan calon

0
414

SEMUA parti bertanding di Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) diingatkan supaya tidak mengadakan sebarang perarakan pada hari penamaan calon, Isnin ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata ia berikutan ketetapan melarang sebarang aktiviti berkumpul sepanjang proses berkenaan.

Berdasarkan ketetapan, hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC).

“Penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC. 

“Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

kmalrudin berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon. 

“Selain itu, bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran. 

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya lagi, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC. 

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon. 

“SPR berharap agar proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Justeru katanya lagi, SPR menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terbabit agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan pihak berkuasa tempatan (PBT). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here