Janji lari berbogel: Penyokong JDT minta maaf terbuka

0
607

SELEPAS beberapa hari dikecam hebat apabila gagal menunaikan janji pulang ke Johor dengan berlari secara berbogel, akhirnya lelaki dipercayai peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia, hari ini.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat menerusi perkongsian video di akaun TikTok miliknya, petang tadi.

Menerusi video berdurasi 49 saat itu, lelaki terbabit juga berjanji untuk tidak mengulangi perbuatannya dan berharap permohonan maafnya diterima.

Bahkan, dia turut bernazar untuk memberi pemasangan cermin gelap di sebuah surau tanpa menyatakan lokasinya tetapi hanya menunjukkan ruang ibadat berkenaan yang menjadi tempatnya merakam video permohonan maaf berkenaan.

“Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh. Dengan rendah diri saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia disebabkan video saya yang tular baru-baru ini.

“Saya berjanji takkan mengulanginya lagi dan saya bernazar berikan tinted (pemasangan cermin gelap) percuma kepada surau ini.

“Saya harap rakyat Malaysia dapat memaafkan saya,” katanya.

Selepas memuat naik video memohon maaf itu, rata-rata netizen memaafkan lelaki terbabit dan berharap dia tidak mengulangi kesilapannya.

“Terbaeeekkkk bro. Alhamdulillahh, pahala banyak sedekah pada surau. Moga murah rezeki, Amin,” tulis pengguna TikTok bernama Mr3ard.

Sementara itu, seorang lagi pengguna TikTok bernama Asmaterasu menerima permohonan maaf lelaki terbabit.

“Maaf diterima. Jangan risau bro. Kita orang netizen memang macam ini. Akan datang jangan buat lagi,”katanya.

Lelaki terbabit mula tular selepas membuat kenyataan berani dengan menyatakan dirinya sanggup berbogel dari Kuala Lumpur hingga ke Johor seandainya Kuala Lumpur City FC menewaskan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Selasa lalu.

Video berdurasi 33 saat itu dimuat naik di Tiktok sebelum JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC.

Susulan kekalahan JDT, netizen meminta lelaki terbabit menunaikan janjinya dengan membanjiri ruangan komen di akaun Tiktok. 

Lelaki itu bagaimanapun tidak melayan permintaan netizen sebaliknya membalas kutukan diterima dengan menyatakan mereka yang mengecamnya berdosa.

Sehari selepas kekalahan JDT, dia memuatnaik gambar bersama alat bantuan pernafasan dengan memberikan alasan mengalami masalah sesak nafas dan tidak boleh menunaikan janji pulang berlari secara berbogel dari Kuala Lumpur ke Johor.

Sekali lagi dia dikecam hebat netizen dan dengan permohonan maaf secara terbuka serta berjanji untuk menghadiah cermin gelap secara percuma kepada sebuah surau, kes itu semakin reda di media sosial. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here