Banjir di Terengganu: 45 mangsa berpindah ke tiga PPS

0
309

JUMLAH mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 45 orang daripada 10 keluarga setakat 11.30 pagi ini berbanding 25 orang  daripada lima keluarga pada petang semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Setiu pagi tadi.

“Dua PPS itu ialah Balai Raya Kampung Bari Besar yang menempatkan 16 mangsa (empat keluarga) dan Masjid Chalok Kedai yang menempatkan lima sekeluarga.

“PPS di daerah Kuala Nerus iaitu Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot yang dibuka semalam pula menempatkan 24 mangsa (lima keluarga),” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Chalok di daerah Setiu telah melepasi paras bahaya dengan ketinggian 9.46 meter (m) (paras bahaya 8.40m) pada 11.30 pagi tadi.

Di Besut, stesen bacaan Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan kenaikan air setinggi 34.47m mengatasi paras amaran 34m dan di Setiu, stesen bacaan Sungai Setiu di Kampung Besut pula merekodkan kenaikan setinggi 17.43m mengatasi paras amaran 17m.

Selain itu, dua lagi sungai yang telah melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan di daerah Marang.

Sementara itu, seorang mangsa Salmah Jusoh, 58, berkata hujan lebat berterusan sejak petang semalam mengakibatkan air menaiki rumahnya di Kampung Lubuk Panjang di Setiu pada paras betis sekitar 7 pagi tadi.

 “Walaupun rumah memang selalu dilanda banjir hampir setiap tahun, namun musim tengkujuh kali ini tiba agak lewat jadi makcik kurang bersedia. 

“Makcik hanya sempat selamatkan dokumen-dokumen penting sahaja. Perabot seperti meja makan dan almari makcik tinggalkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS Masjid Chalok Kedai di Setiu hari ini.

Katanya, rumahnya yang berhampiran dengan sungai menyebabkan beliau bersama empat ahli keluarga menjadi mangsa pertama dipindahkan ke PPS tersebut.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here