[VIDEO] Harga barang naik: Segera tetapkan harga siling barang keperluan

Rakyat gesa kerajaan beri bantuan dan tetapkan harga siling

0
563

KENAIKAN harga barang khususnya barangan keperluan telah menjadi satu beban yang memberi tamparan hebat kepada rakyat di kala rakyat masih lagi sedang berjuang untuk memulihkan kembali ekonomi mereka.

Kenaikan melampau yang berterusan ini memberi persepsi seolah-olah pihak berwajib tidak tahu membuat kerja dan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bagi rakyat, pihak berwajib sepatutnya mempunyai buah fikiran dan penyelesaian holistik bagi menangani isu ini.

Hasil tinjauan SatuBerita di sebuah pasaraya di Gombak, Selangor pada Khamis mendapati rata-rata rakyat meminta kerajaan untuk menyediakan bantuan serta menetapkan harga siling bagi barangan keperluan.

Reseli Jusoh, 35

Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Reseli Jusoh, 35, meluahkan rasa kesal atas kenaikan harga barang yang naik secara mendadak dan mengejut.

“Saya ni kerja pun terumbang-ambing lagi jadi memang tak wajar la harga barang naik mendadak macam ini,” katanya kepada SatuBerita

Oleh itu, Reseli yang telah berkhidmat selama 15 tahun di TLDM, mencadangkan agar pihak kerajaan dapat menetapkan harga kawalan dan tetapkan harga siling untuk barang keperluan harian.

“Tetapkan harga kawalan tak kira ayam ke sayur ke, kalau boleh kerajaan tetapkan harga siling dan ambil tindakan kepada pemborong yang menaikkan harga barang,

“Saya tak minta banyak pun, kalau boleh Menteri-menteri ni jagalah kebajikan rakyat dan masalah rakyat. Berkuasa pun berkuasa juga tapi yang penting jagalah kebajikan dan tengoklah apa yang rakyat minta,” luahnya.

Zaidi Mansor, 33

Selain itu, Zaidi Mansor, 33, turut menyokong kenyataan itu supaya harga barangan tetap dan tidak berubah dari hari ke hari.

“Kalau boleh kerajaan tetapkan harga siling contoh macam hari itu minyak masak naik harga dan kerajaan nampak jadi mereka tetapkan harga untuk minyak,

“Jadi tiada la masalah hari ini datang harga lain, esok datang lagi naik pula harga,” jelasnya.

Menurut Zaidi, sekiranya kerajaan menetapkan harga siling untuk barang-barang keperluan, maka tiadalah isu kenaikan harga barang secara mendadak.

Selain itu, Zaidi juga berharap kerajaan dapat memberi bantuan untuk rakyat terutamanya golongan B40 serta M40 yang turut terkesan dengan kenaikan harga barang.

Idah Jasmin, 35

Sementara itu, Idah Jasmin, 35, mencadangkan agar pihak kerajaan dapat membuka lebih banyak peluang perkerjaan demi membantu rakyat yang sedang bersusah-payah untuk memulihkan ekonomi mereka.

“Contohnya, macam di kiosk-kiosk di KLIA yang terpaksa tutup jadi peniaga yang berniaga di kiosk tersebut tidak boleh mencari sumber pendapatan,”katanya.

Idah yang juga seorang penjawat awam turut menekankan bahawa golongan yang berkerjaya dan berpendapatan tinggi juga turut terkesan dengan kenaikan harga barangan.

“Orang yang berkerjaya seperti arkitek yang sebelum ini berpendapatan tinggi, mereka juga turut terkesan,” katanya.

Oleh itu, Idah merayu agar kerajaan dapat menyediakan bantuan kepada golongan yang terkesan dan terhimpit dengan masalah kenaikan harga barang ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here