Zuraida tidak terima tawaran terajui mana-mana parti politik

0
314

Oleh RIZQI ZABIDI

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa beliau tidak pernah dicalonkan mana-mana pihak untuk memimpin sebuah parti politik yang baru diwujudkan.

Zuraida yang baru-baru ini dikaitkan akan memimpin Parti Bangsa Malaysia bagaimanapun berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa boleh memulakan kewujudan sesebuah parti asalkan mereka memiliki niat untuk membawa kebaikan kepada negara.

Ketika disoal lebih lanjut berhubung desas-desus berkenaan, Zuraida kemudiannya mengembalikan soalan tersebut kepada pemberita.

“Parti itu belum ada nama lagi, macam mana tak tau pimpin? Tak ada orang nak pimpin lagi, macam mana nak pimpin?

“Semua orang dalam parti politik, kerajaan atau sebagainya perlu memikirkan untuk membangunkan negara dan membantu rakyat. Itu yang penting.

“Kalau ada 10 atau 20 parti pun, kalau niatnya sama (untuk membangunkan negara), maka negara ini akan membangun tetapi kalau niatnya lain, negara ini takkan membangun,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan Sungai Sari (SPSS), Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Padang Sanai dekat sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan Zuraida akan keluar dari Bersatu dan memimpin Parti Bangsa Malaysia bersama beberapa bekas Ahli Parlimen PKR antaranya, Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng serta Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar.

Parti baharu tersebut bagaimanapun dikatakan akan bertindak sebagai mesra kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here