VTL Malaysia-Singapura kesan kes pertama Covid-19

0
474

SATU kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kes positif itu dikesan pagi tadi, menerusi saringan yang dijalankan di pintu masuk Malaysia.

Katanya, tindakan cepat dan pantas sedemikian penting bagi memastikan penularan jangkitan, termasuk daripada risiko varian baharu, omicron berupaya ditangani sepenuhnya.

“Kita buat semua keputusan bersandarkan sains, justeru kementerian tegas untuk tetap melaksanakan saringan apabila mereka tiba di pintu masuk negara.

“Walaupun mereka yang masuk menerusi VTL dikehendaki membuat saringan 72 jam sebelum hari perjalanan, tetapi ia masih membuka ruang kepada pelbagai kemungkinan.

Keputusan ini terbukti tepat apabila kita kesan satu kes positif pagi ini bila tiba di Malaysia,” katanya pada ucaptama Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan COVID-19 Institut Kesihatan Negara (NIH) – Kementerian Kesihatan (KKM), di Shah Alam, Selangor hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Mengulas laniut, Khairy berkata kes pertama itu dikesan menerusi saringan kit ujian pantas (RTK) antigen ketika individu berkenaan tiba di pintu masuk utama antarabangsa Tambak Johor.

Sehubungan itu, katanya, pengesahan diagnostik bersandarkan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) sedang dilakukan, selain penilaian risiko terhadap penumpang bas terbabit.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru sedang buat penilaian risiko terhadap penumpang bas berkenaan, sama ada perlu menjalani kuarantin dan sebagainya.

“Walaupun ada satu kes, saya tidak anggap ia boleh gagalkan VTL, sebaliknya ini contoh kepentingan di sebalik saringan prapelepasan dan ketika ketibaan.

“Tidak perlu batalkan VTL hanya kerana satu kes ini, tetapi kita kena hidup dengan ia (virus COVID-19) memandangkan kes positif akan selalu ada.

“Ini perkara penting membabitkan jiran paling hampir dengan kita dan hal ehwal kedua-dua negara, justeru maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here